Persenda Ucapan Salam: Pemuda UMNO Subang Buat Laporan Polis

SUBANG, 11 Mei – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang malam tadi telah membuat laporan polis terhadap individu yang tidak menghormati agama Islam dengan mempersenda dan mempermainkan ucapan salam.

Ketuanya, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail dalam satu kenyataan kepada UMNO Online berkata, perbuatan cubaan meraih perhatian murahan itu perlu ditentang sekeras-kerasnya dan berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan segera.

“Agama Islam adalah agama rasmi negara Malaysia. Sebagai rakyat Malaysia kita perlulah sentiasa saling hormat-menghormati setiap agama yang ada di negara kita ini supaya sifat perpaduan antara kaum dapat dipupuk sepenuhnya,” ujarnya.

Dalam kenyataannya itu, Fariz Hazurin turut melampirkan dua pautan dari medium media sosial berkenaan video individu yang mempersenda ucapan salam itu iaitu di Twitter: https://twitter.com/nanmanjoi8715/status/1655251826751713282?s=20 yang sehingga pagi ini masih boleh ditonton.

Manakala TikTok di pautan
https://www.tiktok.com/@kingzacklegend100/video/7230194657530088710 (Kingzacklegend100) tetapi apabila disemak video berkenaan sudah tidak boleh lagi dilihat.

Seterusnya, Fariz Hazurin turut mengungkapkan perihal manusia yang bersikap biadap kepada agama ini sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran di dalam surah Al-An’aam ayat 70 yang bermaksud:

“Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada bagi-nya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah.”

Justeru, Fariz Hazurin menyeru semua rakyat di negara ini bersama membangkitkan semangat perpaduan tanpa mengira kaum dan agama. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit