Azalina Akui Sesi Dialog Mampu Lerai Kesangsian Rakyat Terhadap Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kesangsian rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan mampu dileraikan melalui pelbagai diskusi sebagaimana program ‘Mendalami Demokrasi Di Malaysia: Membentuk Kerajaan Gabungan dan Parlimen Tergantung Berfungsi’.

Jelasnya yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi), program tersebut sekurang-kurangnya dapat memberikan gambaran mengenai hubungan dalaman antara parti komponen di bawah Kerajaan Perpaduan dan bagaimana konflik dapat diselesaikan.

“Sekurang-kurangnya kesangsian rakyat tentang hubungan Kerajaan Perpaduan dapat dileraikan.

“Saya juga menekankan tentang kewujudan Sekretariat Kerajaan Perpaduan dan sekiranya terdapat isu mahupun konflik, ianya boleh dibawa ke mesyuarat tersebut,” katanya ketika ditemui sejurus selepas program tersebut tamat.

Beliau turut menekankan bahawa kebebasan dalam Parlimen telah diwujudkan bagi membolehkan wakil rakyat membawa suara rakyat di kawasan mereka.

“…dan kemudian saya menekankan bahawa lebih banyak kebebasan dibawa oleh Kerajaan Perpaduan terutama sekali sebagai contohnya di Parlimen. Speaker Dewan Rakyat sendiri telah membawa banyak perubahan dan perkara ini amat digalakkan oleh Kerajaan Madani pada hari ini.

“Tiadanya penekanan dan himpitan serta lebih terbuka kerana kita mahukan suara rakyat melalui wakil rakyat mereka dapat didengar bukan sahaja di dalam tetapi juga di luar Parlimen,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Azalina turut yakin dakwaan Perikatan Nasional (PN) bahawa mereka sudah mempunyai nombor yang cukup untuk membentuk kerajaan tidak benar sama sekali kerana ianya tertakluk kepada Akta Anti Lompat Parti.

“Saya yakin dan percaya dengan adanya Akta Anti Lompat Parti ini semua (dakwaan PN mereka mempunyai nombor yang cukup untuk membentuk kerajaan) hanya cakap-cakap sahaja. Seperti yang saya tekankan tadi sebagai kesimpulan, kerusi ini kerusi parti bukan kerusi individu.

“Jadi kalau dia tidak bersetuju dengan keputusan parti, dia mempunyai hak untuk keluar dan pertandingkan kerusi itu semula kerana Akta Anti Lompat Parti,” katanya lagi.

Terdahulu, beliau menjadi panel dalam sesi diskusi yang bertajuk ‘Mendalami Demokrasi Di Malaysia: Membentuk Kerajaan Gabungan dan Parlimen Tergantung Berfungsi’ anjuran BERSIH.

Turut hadir sebagai panel dalam program yang sama ialah Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen.– UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.