UMNO Wadah Perjuangan Melayu, Terus Perkukuh Perjuangan – Azhari Shaari

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari mengharapkan seluruh ahli UMNO bersama-sama meneruskan perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan tanah air.

Katanya, UMNO diyakini akan bangkit semula dan menjadi parti yang akan memperjuangkan orang Melayu dan Islam kerana itulah asas penubuhannya sejak dahulu.

“Saya mengharapkan agar UMNO akan terus menjadi sebuah parti yang lebih kukuh, wadah yang relevan bagi perjuangan orang Melayu untuk agama, bangsa dan negara. Parti keramat ini akan terus kukuh dengan penyatuan di semua peringkat dan harus diperkasakan.

“Fokus utama akar umbi UMNO adalah membantu dan memberikan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi dan juga pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.

“Janganlah ahli-ahli parti merasa kecewa dengan keputusan pada pilihan raya lalu dan sekarang ini UMNO adalah sebahagian dari Kerajaan Perpaduan tetapi jangan merasa selesa dengan keadaan sekarang kerana harus berkerja kuat untuk menyatukan di semua peringkat,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam masa yang sama kata Azhari lagi UMNO perlu memenangi semua kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak bagi menyakini masyarakat serta menterjemahkan bahawa parti ini masih terus disayangi.

“PRN ini adalah salah satu kayu pengukur bagi penerimaan masyarakat terhadap UMNO dan Kerajaan Perpaduan. Bukannya mudah akar umbi hendak menerimanya dengan senario yang baharu dan ini satu cabaran yang cukup besar bagi parti untuk menyakinkan semua pengundi-pengundi bagi menyokong UMNO.

“Apabila UMNO dapat menerajui dan mengambil alih salah satu negeri pada PRN ini ianya menjadi satu petanda aras yang sangat baik dengan kemuafakan, perbincangan, persefahaman yang sangat ikhlas diantara semua parti yang bertanding terutamanya dari Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Bagi kerusi-kerusi yang tidak dipertandingkan oleh UMNO maka akar umbi dapat membantu memenanginya pada PRN ini,” katanya lagi.

Untuk rekod, enam negeri bakal membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada PRN.

Negeri-negeri berkenaan ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, dan Terengganu. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit