Wanita UMNO Batu Sapi Manfaatkan Bulan Ramadan Sebagai Bulan Kasih Sayang

SANDAKAN, 6 April – Wanita UMNO Bahagian Batu Sapi memanfaatkan bulan Ramadan sebagai bulan kasih sayang untuk menyantuni golongan asnaf dan mereka yang memerlukan bantuan.

Ketuanya Hazulizah Mohd Dani berkata, semenjak beliau mengambil alih jawatan sememangnya telah disusun jadual program sempena bulan Ramadan yang bertumpu kepada kebajikan seperti penyampaian sumbangan dan program berbuka puasa bersama kumpulan sasaran.

“Kita faham sempena Ramadan ini tidak semua dapat melaksanakan ibadah puasa dalam keadaan yang serba lengkap terutamanya golongan B40, golongan asnaf dan mereka yang terpaksa bertugas di bulan mulia ini.

“Justeru program Semarak Kasih Ramadan ini kita gerakkan dengan harapan dapat mengeratkan hubungan silaturrahim di samping berkongsi rezeki yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika di temui selepas program Semarak Kasih Ramadan di Balai Komuniti Flat Majlis Perbandaran Sandakan, di sini, baru-baru ini.

Program yang digerakkan secara kolaborasi antara Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Batu Sapi bersama Jabatan Penerangan Sandakan itu dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi, Zantapha Zainal Abidin .

Menurut Hazulizah, program agihan bubur lambuk dan sumbangan lain juga turut digerakkan ke jabatan-jabatan kerajaan kerana memahami bahawa ada pegawai atau kakitanganya yang terpaksa berbuka atau bersahur di pejabat kerana menjalankan tugas yang diamanahkan.

Katanya program yang menjadi agenda tahunan Wanita UMNO Bahagian Batu Sapi itu juga turut mengalu-alukan jalinan kerjasama dari semua pihak termasuk jabatan, agensi kerajaan dan badan-badan sukarela agar budaya membantu golongan yang memerlukan itu dapat disemarakkan serta lebih ramai penerima memperoleh kebaikan.
“Ini bukan sahaja untuk meringankan beban namun sekali gus menceriakan sambutan hari raya Aidilfitri yang bakal menjelang tiba.

“Kita yakin melalui program seperti ini hubungan secara langsung antara kepimpinan parti khususnya Wanita UMNO Bahagian Batu Sapi akan terus terjalin melalu bentuk kerjasama dalam menyediakan juadah yang diagihkan selain dapat merapatkan hubungan antara kepimpinan parti dengan masyarakat luar,” jelas Hazulizah lagi. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.