PRN NS: UMNO-PH Sudah Adakan Perbincangan Awal Cari Titik Persefahaman – Jalaluddin

SEREMBAN, 5 April – UMNO Negeri Sembilan telah mengadakan perbincangan awal dengan Pakatan Harapan (PH) negeri bagi mencari persefahaman menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) terutama membabitkan pembahagian kerusi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata ia bagi memastikan tidak ada sebarang pertembungan kerusi antara PH dan Barisan Nasional (BN) sekali gus memastikan dapat memenangi kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Semalam saya dah jumpa Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun untuk kali pertama…kita cari titik persefahaman supaya kerusi UMNO dan BN tidak bertembung dengan PH dalam PRN, secara prinsipnya itu yang harus kita tumpu, insya-Allah akan dapat buat keputusan dalam waktu terdekat.”

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jelebu itu berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO negeri di, sini, hari ini.

Mengenai calon ‘poster boy’ Menteri Besar di negeri itu, Jalaluddin berkata perkara itu akan ditentukan kepimpinan tertinggi parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan. – BERNAMA

 

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit