Sulaiman Seru Rakyat Melaka Supaya Terus Beri Sokongan Kepada Barisan Kepimpinan Baharu

KUALA LUMPUR, 31 Mac – Bekas Ketua Menteri Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menyeru seluruh rakyat Melaka agar terus memberikan sokongan kepada barisan kepimpinan kerajaan negeri Melaka yang baharu.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Sulaiman turut menzahirkan penghargaan dan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Melaka yang sentiasa memberikan dukungan sepanjang beliau memikul jawatan tersebut.

“Buat seluruh rakyat Melaka yang dikasihi sekalian. Hari ini, sempena sayyidul ayyam, adalah hari terakhir saya memegang amanah mengetuai dan memimpin pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12 bermula dari 9 Mac 2020 yang lepas.

“Di kesempatan ini, saya ingin menzahirkan penghargaan dan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada rakyat Melaka yang dikasihi atas segala sokongan, dukungan, pandangan, cadangan mahupun kritikan diberikan sepanjang saya melaksanakan amanah tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mendoakan agar seluruh rakyat negeri Melaka terus terus diberikan keselamatan, keamanan dan kemajuan sebagai sebuah negeri Baldatun Toiyibatun Warabbun Ghafur.

“Sempena bulan Ramadan Al-Mubarak ini, saya dan keluarga juga menyusun sepuluh jari memohon kemaafan dan keampunan daripada rakyat Melaka yang dikasihi atas segala kelemahan, kesilapan, kesalahan serta kekhilafan sepanjang saya memegang amanah tersebut.

“Selanjutnya, saya menyeru dan merayu kepada rakyat Melaka sekalian agar dapat terus memberikan sokongan, dokongan serta kerjasama yang terbaik kepada barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Melaka baharu, sama seperti diberikan kepada saya sebelum ini demi negeri Melaka yang tercinta.

“Akhirul kalam, saya dan keluarga mendoakan agar seluruh rakyat dan negeri Melaka yang dicintai terus diberikan keselamatan, keamanan dan kemajuan sebagai sebuah negeri Baldatun Toiyibatun Warabbun Ghafur. Amin, Amin, Amin Ya Rabbal Alamin,” katanya lagi.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan telah menerima surat peletakan jawatan Sulaiman selaku Ketua Menteri Melaka yang Ke-13 dan parti mencadangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Rauf sebagai Ketua Menteri yang baharu kepada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Rustam.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Zaidi Johari dipetik sebagai berkata Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia, akan dilangsungkan di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam pada pukul 3 petang hari ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.