Sesi PMQ: Pihak Pembangkang Terbukti Gemar ‘Cakap Belakang’ – Muhamad Akmal

KUALA LUMPUR, 30 Mac – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh menempelak tindakan Ketua Pembangkang atau Pengerusi Ahli Parlimen Pembangkang yang tidak menghadirkan diri semasa sesi Prime Minister Question (PMQ) pada Selasa lalu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu beranggapan bahawa pihak pembangkang lebih gemar bercakap di belakang daripada berbahas secara terus dengan Perdana Menteri (PMX), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Setiap hari Selasa jam 10.00 pagi akan ada sesi yang dinamakan ‘Prime Minister Question’ di Parlimen selama 30 minit. Dalam sesi ini Perdana Menteri akan menjawab sendiri semua soalan yang dikemukakan oleh ahli parlimen.

“Kecewa juga hari ini datang ke parlimen, ingatkan nak tengok Ketua Pembangkang atau Pengerusi Ahli Parlimen Pembangkang berbahas secara terus dengan PMX buat pertama kalinya sebab sebelum ni mereka tidak pernah hadir.

“Tetapi mungkin mereka hanya suka bercakap di belakang sahaja kot dari berdepan secara anak jantan. Ataupun, saya nak cadangkan pada PMX untuk buat sesi PMQ ini pada waktu petang, sebab mungkin mereka ini belum bangun tidur lagi jam 10.00 pagi,” ujarnya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Pada Selasa media melaporkan tiga pemimpin tertinggi Perikatan Nasional (PN) sekali lagi didakwa gagal memanfaatkan Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) selepas tidak hadir di Dewan Rakyat ketika sesi terbabit berlangsung.

Perkara itu dikongsikan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menerusi ciapan di Twitter selepas memuat naik gambar memaparkan tempat duduk kosong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang (Marang). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.