Pasca-Pemilihan: Pimpinan Baharu Punya Kombinasi Terbaik, Mantap Hadapi PRN
KUALA LUMPUR, 29 Mac – Barisan pimpinan baharu yang telah dipilih semasa musim Pemilihan UMNO 2023 lalu dilihat mempunyai kombinasi baik iaitu menampilkan muka baharu dan lama.
Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, kolaborasi mantap di bawah para pimpinan ini akan membolehkan UMNO/Barisan Nasional (BN) menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan lebih baik kelak.
“Bagi saya pimpinan baharu ini mempunyai satu kombinasi sangat baik kerana menampilkan muka-muka lama dan baharu.
“Saya yakin dengan satu kolaborasi yang mantap di bawah Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden baharu, PRN di enam negeri ini akan dapat kita lalui dengan lebih baik,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang itu turut merasakan bahawa UMNO/BN mula diterima semula oleh rakyat.
“Sempena bulan Ramadan ini marilah kita sama-sama berdoa supaya Kerajaan Perpaduan ini dapat meyakinkan rakyat bahawa kita adalah pilihan terbaik untuk kelangsungan negara.
“Pada masa yang sama saya rasa UMNO juga telah mula diterima oleh rakyat. Kita sama-sama doakan dalam bulan yang mulia ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Norliza turut beranggapan bahawa UMNO/BN tidak boleh mengambil mudah dalam menghadapi PRN yang masih lagi berbaki di enam negeri.
“Saya rasa untuk menghadapi PRN kita tidak boleh ambill mudah. Bukan sahaja di Pulau Pinang bahkan di negeri-negeri lain juga.
“Di Pulau Pinang khususnya kita dapat melihat bahawa Kerajaan Perpaduan telah memberi ruang kepada UMNO Pulau Pinang untuk meraih sokongan yang lebih dan kita mendoakan agar penyatuan ini membawa kebaikan.
“Apa yang penting, masalah dan kepentingan rakyat akan kita perjuangkan tanpa mengenepikan misi ataupun matlamat perjuangan UMNO untuk agama, bangsa dan negara kita,” katanya lagi.
Pemilihan UMNO sesi 2023/2026 ini memberikan signifikannya yang tersendiri kepada landskap politik UMNO apabila muka baharu terus mendapat tempat bagi kepimpinan akar umbi parti.
Perubahan dari segi kepimpinan di peringkat bahagian terdapat sehingga 54 muka baharu, ini menunjukkan begitu dinamiknya perubahan dalam UMNO apabila pemilihan diadakan. – UMNO Online