Pemilihan UMNO: Pilih Calon Berwibawa, Tentu Masa Depan Parti – Zakaria Dullah
BENTONG, 17 Mac – Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah mengingatkan para perwakilan agar memilih calon yang berwibawa terutamanya dalam menentukan masa depan parti.
Jelasnya, jawatankuasa bagi Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO telah dibentuk pada minggu lalu maka beliau berharap insan yang terpilih melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya.
“Alhamdulilah minggu lepas pemilihan jawatankuasa bagi Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO telah selesai dijalankan. Kita lihat sambutannya sangat baik dan akhirnya perwakilan sudah menentukan barisan kepimpinan.
“Harapan saya selaku ahli UMNO, laksanakanlah tanggungjawab dan kita berharap agar dengan terbentuknya pasukan sayap parti ini, proses membina semula UMNO dapat dilaksanakan sebaiknya.
“Harapan saya kepada tiga sayap ini, berusahalah dengan gigih untuk mencapai matlamat bagi mengembalikan semula kegemilangan UMNO,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau yang menawarkan diri sebagai calon Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan memegang nombor 78 itu turut berpendapat bahawa penyatuan selepas Pemilihan UMNO 2023 dilaksanakan sebaiknya bagi mengelakkan perpecahan.
“… yang kalah tidak kalah semua, yang menang pun tidak menang semua. Kepada yang menang beliau semestinya mengetahui bagaimana cara untuk kembali menyatukan perwakilan dan akar umbi terutamanya ketua yang dipilih.
“Mereka akan ada banyak jawatan-jawatan lantikan dan akan diwujudkan banyak juga biro-biro. Kebiasaannya orang yang menawarkan diri ini, mereka nak menyumbang sesuatu lebih baik untuk masa depan parti,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Zakaria turut berharap agar para perwakilan meletakkan calon-calon yang betul sebagai pemimpin untuk mengembalikan kepercayaan ahli dan rakyat terutamanya kepada parti.
“Kepada para perwakilan termasuk diri saya sendiri, pastikan usaha kita mengembalikan kegemilangan UMNO ini khususnya kepercayaan masyarakat Melayu melalui memilih orang sebetulnya sebagai pemimpin.
“Kepada perwakilan, proses untuk UMNO itu kembali gemilang adalah melalui sejauh mana kita mampu meletakkan pemimpin yang baik dan meletakkan perjuangan di hadapan. Saya yakin, kalau semua perwakilan dapat memahami dan mengenalpasti pemimpin yang meletakkan perjuangan itu di hadapan proses pemulihan UMNO akan berlaku selepas ini,” katanya lagi. – UMNO Online