Ahmad Zahid Berazam UMNO Terus Menjadi Jaguh Rakyat
AYER KEROH, 13 Mac – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berazam membawa UMNO terus menjadi jaguh bagi rakyat dan bukan hanya sekadar di kalangan ahli parti.
Begitu juga katanya, UMNO perlu terus relevan di peringkat nasional dan perlu keluar dari kepompong lama bagi mengembalikan kekuatan parti.
“Kita tidak mampu lagi menjadi parti ‘kampung’. Kita tidak mampu lagi menjadi johan atau jaguh di antara kita sahaja. Kita mesti menjadi johan dan jaguh di luar kepompong kampung dan bandar serta mesti relevan di peringkat nasional… inilah azam di dalam UMNO yang akan datang ini.
“…dan kita mesti menggunakan perkataan baharu di dalam gerakan kita dan harus menggamit anak-anak muda dan mengambil generasi baharu, pendekatan harus baharu, pemikiran harus baharu di samping harus mengekalkan jiwa kita iaitu jiwa ‘Mekah’ dan pemikiran ‘New York’ dan kombinasi ini perlu ada pada kita.
“Ingat… ingat bahawa kita sentiasa diuji oleh Allah SWT. Kita harus berusaha dan berikhtiar serta mesti keluar dari kepompong konvensional, kepompong tradisional dan mesti menggunakan ‘digital’ dalam gerakan kali ini. Kita mesti keluar dari kaedah dan cara lama dan itulah sebabnya Wanita, Pemuda dan Puteri harus berganding bahu bersama-sama dengan saya dan kepimpinan yang bakal dipilih nanti,” katanya.
Beliau yang Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengenalan Calon-Calon Naib Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, sempena Pemilihan UMNO sesi 2023/2026 peringkat negeri Melaka, malam tadi.
Dalam hal ini beliau menyarankan agar calon-calon yang bertanding dan juga perwakilan berada di dalam satu pasukan dan tiada persengketaan antara satu sama lain.
“Seluruh perwakilan di seluruh negara khususnya di Melaka ini berada di dalam satu pasukan dan tidak mahu ada ‘kabilah-kabilah’ yang berbagai di dalam UMNO ini. Kita mahu parti ini hanya satu pasukan untuk kita perkuatkan semula.
“Kita ketepikan perbezaan di kalangan kita, kita ketepikan kepentingan-kepentingan peribadi dan yang penting UMNO harus terus direlevankan untuk menang didalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.
“Saya tidak memihak kepada sesiapa dan siapa saja yang menang itu adalah pilihan dari perwakilan. Paling penting mereka berjalan sederap dengan saya, memperkasakan semula UMNO bersama-sama dengan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan,” katanya lagi.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua Pemuda UMNO Dr Akmal Salleh, Ketua Puteri UMNO Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi bersama-sama kepimpinan UMNO negeri selain calon-calon yang bertanding.
Terdahulu majlis sedemikian telah diadakan di Wilayah Persekutuan diikuti Pulau Pinang, Kedah/Perlis, Perak, Sabah, Selangor dan Johor.
Pemilihan UMNO dijadual berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama MKT UMNO. – UMNO Online
Oleh: Amin Adnan