Mohd Sharkar Pesan Perwakilan Pilih Calon Terbaik Untuk Kepimpinan Masa Depan UMNO
KUALA LUMPUR, 9 Mac – Para perwakilan yang bakal melaksanakan tanggungjawab dengan memilih kepimpinan UMNO dalam pemilihan yang bakal diadakan Sabtu ini untuk peringkat sayap dan Sabtu depan bagi jawatan Bahagian dan Pusat diminta agar memilih mereka yang terbaik.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata para perwakilan harus memandang serius ucapan atau pesanan daripada presiden yang inginkan antara calon-calon yang bertanding ini dipilih yang terbaik di kalangan yang baik-baik.
Beliau berkata demikian merujuk kepada ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini telah bersama-sama dalam Majlis Pengenalan calon-calon pemilihan UMNO peringkat pusat yang telah diadakan di Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Kedah/Perlis, Perak, Sabah dan Selangor.
“Maksudnya baik pada Presiden itu adalah pertama mereka yang mempunyai jati diri dan juga mempunyai daya juang, juga mempunyai semangat dan mereka yang tetap teguh dan patuh akan UMNO.
“Yang keduanya mereka yang boleh bekerja dan yang tahu bagaimana melaksanakan tanggungjawab apabila diberikan tugas tersebut dan yang ketiganya adalah mereka yang kita rasakan bahawa dia boleh memberikan apa yang kita sebut sebagai ‘wow factor’.
“Maksudnya kepimpinan di bawah Naib Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) ini adalah merupakan pucuk pimpinan yang akan mengendali ahli pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16,” katanya kepada UMNO Online.
Menerusi pemilihan UMNO, Mohd Sharkar turut mencalonkan diri bagi mempertahankan jawatan MKT UMNO dengan nombor calon 80.
Ujar beliau, calon-calon terutama sekali yang dipilih ini mesti mereka yang mempunyai ‘wow factor’ iaitu yang boleh menarik bukan setakat UMNO tetapi juga boleh menarik pengundi di luar iaitu memberikan keyakinan kepada UMNO agar UMNO kembali menjadi parti seperti yang pernah dilalui dulu.
“Kerana sekarang ini kita hanya ada 26 kerusi daripada pernah ada 109 kerusi, jadi sebab itulah pesanan Presiden adalah pesanan yang harus diambil kira oleh semua perwakilan yang akan memilih pimpinan sama ada di peringkat sayap dan juga di peringat UMNO sendiri pada 18 hari bulan nanti.
“Barisan ini adalah merupakan barisan yang akan menjadi jentera dan sebab itulah beberapa faktor iaitu satunya ada kesetiaan kepada parti, yang keduanya mereka yang kita rasakan dari segi ‘track record’ mampu melaksanakan serta menggalas tanggungjawab dan yang ketiga adalah mereka yang mempunyai ‘wow factor’, yang boleh menarik bukan setakat ahli parti, menang di dalam parti tetapi yang paling penting adalah pengundi-pengundi di luar sana untuk melihat bahawa mereka memiliki keyakinan baharu, memiliki nafas baharu dan harapan baharu Barisan Nasional.”
Sehubungan itu Mohd Sharkar berharap agar semua anggota parti melakukan apa yang dikatakan muhasabah diri.
“Kita mesti mencari kekuatan yang baru dan dalam masa yang sama kita mesti ‘up to date’ dengan perkembangan politik dan juga perkembangan isu-isu media yang ia setiap masa dan setiap waktu sentiasa berubah.
“Kalau dulu mungkin Facebook tapi generasi Facebook dah pun umur-umur 50-60 tahun kemudian Instagram, kalau dulu orang tak tengok sangat Instagram tapi sekarang Instagram dan sekarang ni Tik Tok dan kita pun tak tahu lagi apa yang akan ada Apps ataupun aplikasi-aplikasi baru yang ianya dapat digunakan untuk mempengaruhi pengundi-pengundi
“Jadi sebab itu la kita perlu sentiasa berfikiran terbuka dan dalam masa yang sama juga kita mestilah mengetahui tentang perkembangan geopolitik secara keseluruhannya politik dunia ini.”
Dalam hal ini Mohd Sharkar menyatakan bahawa ada beberapa kriteria yang boleh sama-sama difikirkan terutama sekali mesti mempunyai semangat untuk membina semula UMNO.
“Yang keduanya seperti yang saya nyatakan bahawa mereka yang ada ini mempunyai kesetiaan yang tinggi kepada parti.
“Dan yang ketiganya mereka yang boleh bekerja dan keempat mereka yang mempunyai ‘wow factor’ iaitu yang boleh menarik pengundi-pengundi di luar sana yang bukannya ahli UMNO sebab sekarang semuanya menonton semuanya melihat, semuanya menilai, semuanya memerhatikan siapakah yang akan dipilih oleh ahli-ahli parti untuk menjadi Naib Presiden dan juga Majlis Kerja Tertinggi kerana mereka inilah nanti yang akan menjadi jentera utama untuk mengemudi parti ke PRU ke-16,” katanya lagi. – UMNO Online