Pemilihan UMNO 2023 Bakal Bawa Pembaharuan, Tentukan Survival Parti – Abdul Rahman
KUALA LUMPUR, 7 Mac – Pemilihan UMNO untuk sesi 2023-2026 ini sudah semestinya bakal membawa pembaharuan kepada parti terutamanya dalam menentukan kelangsungannya menghadapi era politik mencabar ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, sudah semestinya para perwakilan mahukan barisan kepimpinan baharu yang mampu mencorakkan masa depan UMNO.
“Pada pandangan saya, pemilihan pada kali ini merupakan satu proses demokrasi untuk membawa perubahan dalam menentukan survival parti. Para perwakilan akan memilih calon-calon terbaik bagi membentuk barisan kepimpinan.
“Sudah pasti ahli dan akar umbi mahukan calon-calon yang mampu untuk menentukan masa depan parti. Saya yakin dan percaya mereka yang terpilih akan berusaha untuk memastikan UMNO kukuh serta kuat di bawah kepimpinan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya turut yakin bahawa kekuatan UMNO akan dapat dikembalikan selepas musim pemilihan ini terutamanya dalam menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Saya percaya pemilihan UMNO kali ini akan dapat mengembalikan kekuatan parti terutamanya dalam menghadapi enam PRN. Inilah proses yang kita hadapi untuk menentukan kemenangan pada ketika itu.
“Meskipun begitu, semangat yang kita inginkan telah kembali walaupun kita hanya sebahagian daripada kerajaan hari ini. Sudah pastilah kita mahu mengukuhkan parti untuk masa depan yang lebih baik,” ujarnya lagi ketika ditemui di Majlis Pengenalan Calon bagi peringkat negeri Perak di Ipoh.
Menurut Abdul Rahman, calon-calon yang menawarkan diri sudah pasti datang dengan niat untuk memperkukuhkan parti dan beliau yakin bahawa tidak akan berlaku perpecahan pasca pemilihan ini.
“Saya yakin bahawa calon-calon yang bertanding ini sudah pasti hendak memastikan parti kembali kepada landasannya. Saya percaya tidak akan berlaku perpecahan disebabkan pertandingan ini kerana mereka sedar bahawa ianya amat penting kepada parti dan kita tidak mahu perpecahan berlaku.
“Waima di peringkat MKT, bahagian dan sayap-sayap. Ini adalah proses untuk menentukan dan mengukuhkan parti kembali yang saya tengok ramai telah kembali bagi memastikan kekuatan UMNO kembali kukuh.
“Kita yang bertanding ini sudah pasti niat untuk bekerja bersama dengan presiden sebab niat kita tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memperkukuhkan parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16. Walaupun agak jauh saya katakan tetapi kita perlu bermula daripada sekarang,” tambah Ketua UMNO Bahagian Lipis dan juga Ahli Parlimen kawasan itu.
Dalam pada itu beliau yang menawarkan diri sebagai calon MKT pada Pemilihan UMNO 2023 ini turut berpendapat bahawa keyakinan rakyat terhadap UMNO perlu dikembalikan semula selepas pemilihan ini.
“Kita kena kembalikan keyakinan rakyat. Ini amat penting sebenarnya. Pemilihan kali ini amat penting di kesemua peringkat. Begitu juga di peringkat cawangan, kita lihat proses pemilihan telah berlalu dan ada antaranya menawarkan diri, bertanding, menang dan kalah. Tetapi itu tidak menggambarkan berlaku perpecahan bahkan lebih mengukuhkan parti.
“Saya melihat kemeriahan dalam empat siri ‘roadshow’ ini merupakan satu proses untuk memulihkan parti yang kita sanjungi. Kita baru habis pilihan raya, maka sudah pasti kita hendak melihat perubahan baharu yang berlaku dalam proses pemilihan parti ini.
“Saya calon MKT bernombor 83, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad menawarkan diri untuk bertanding bagi Pemilihan UMNO sesi 2023-2026,” katanya lagi. – UMNO Online