Keluarga Besar UMNO Hormati Keputusan Parti, Pemilihan Untuk Rapatkan Barisan – Haryaty

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka Datuk Haryaty Hamdzah berharap ahli-ahli UMNO tetap teguh dan tidak berpecah termasuklah selepas pemilihan UMNO dilaksana.

Katanya, walaupun terdapat banyak perbezaan pandangan namun sebagai sebuah keluarga besar UMNO harus menghormati keputusan parti.

“Saya berharap selepas pemilihan ini kepimpinan parti dapat merapatkan lagi barisan saf dan tidak boleh lagi berpecah. Kita bertanding dalam satu keluarga besar UMNO dan masing-masing sudah tahu peranan serta menghormati keputusan parti.

“Semua lapisan kepimpinan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Wanita, Pemuda dan Puteri dapat bersatu padu serta menguatkan kembali parti ini bagi hadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan solidariti yang lebih baik.

“Bagi calon yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua. Semoga ianya dapat kembali bersatu kerana setiap ahli ada potensi untuk bertanding dan kemungkinan besar pasti ada kualiti tertentu dan parti sangat memerlukannya,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang menawarkan diri sebagai Exco Wanita UMNO turut berpendapat bahawa ahli UMNO perlu bangkit kembali, bekerja keras, bersatu, mengetepikan segala kepentingan sempit serta peribadi dalam menghadapi ujian besar yang dihadapi kini.

“Kesungguhan ahli parti untuk bangkit kembali dan bersama-sama dalam perjuangan ini masih tinggi. Ini adalah satu petanda yang cukup baik terutamanya struktur di peringkat cawangan dan seterusnya ke bahagian.

“Respon ahli parti terutamanya di peringkat bahagian cukup baik dan komitmennya cukup besar serta masih sayangkan parti ini walaupun tidak menang besar pada pilihan raya lepas,” jelas beliau.

Dalam pada itu Haryaty turut mengajak calon dan akar umbi mempelbagaikan kempen pemilihan ini walaupun masa kempen cukup terhad.

“Seharusnya cara berkempen harus diperpanjangkan lagi dan dipelbagaikan. Bukan hanya berkempen di media sosial saja tetapi berkempen dengan bersua muka juga diperlukan agar hubungan baik ahli parti dengan pemimpin dapat dieratkan lagi.

“Dalam masa yang sama akar umbi dapat merasai sentuhan dari pemimpin dan sedikit sebanyak dapat memberi ruang mendekati dengan lebih berkesan lagi,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.