Pemilihan UMNO 2023 Penentu Jatuh Bangun Parti – Farhan Khairuddin

KUALA LUMPUR, 3 Mac – Pemilihan UMNO pada kali ini bakal menentukan nasib bangun atau jatuh parti dalam menempuhi dinamika politik yang semakin mencabar ini.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Farhan Khairuddin berkata, perjalanan pemilihan musim ini amat menyeronokkan bagi beliau kerana akar umbi mungkin mahu melihat satu perubahan selepas kekalahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

“Saya lihat reaksi daripada akar umbi amat memuaskan dan agak mengharukan kerana mereka mungkin mahu melihat satu perubahan dari sudut muka baharu, pendekatan serta tenaga baharu.

“Maka saya boleh klasifikasikan sebagai satu perkara yang sangat ‘exciting’ untuk saya tempuh semasa sesi kempen pemilihan kali ini,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang menawarkan diri sebagai Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO turut berpendapat bahawa proses pemilihan pada kali ini memerlukan penelitian untuk memastikan UMNO kembali bangkit selepas kekalahan.

“Alhamdulilah, perjalanan yang sangat ‘exciting’ buat saya. Ini kali pertama saya menawarkan diri bagi jawatan dua tertinggi dalam Pergerakan Pemuda UMNO.

“Saya mengucapkan selamat berhadapan dengan pemilihan, selamat menunaikan tanggungjawab anda sebagai ahli parti dan saya mengharapkan proses pemilihan kali ini meletakkan kita dalam situasi yang sangat memerlukan penelitian.

“Kita perlu buat keputusan tidak berlandaskan kepada emosi ataupun apa juga perkara-perkara lain sama ada bentuk kewangan. Itu semua mesti diletakkan ke tepi kerana pemilihan kali ini menentukan nasib bangun atau jatuh UMNO selepas ini.

“Sama ada UMNO akan terus hidup sebagai sebuah parti orang Melayu yang memartabatkan kekuatan Malaysia itu sendiri, ataupun UMNO akan terkubur kerana kegagalan kita untuk bangkit semula dalam situasi hari ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Farhan turut mengajak calon-calon lain untuk berkempen secara sihat dan penuh matang demi parti yang tercinta ini.

“Saya merayu kepada semua perwakilan khususnya Pergerakan Pemuda UMNO untuk memberikan peluang kepada saya Farhan Khairuddin, berusia 29 tahun.

“Seorang anak muda yang sangat ‘eager’ sekarang ini untuk berjuang dan mengembalikan semula maruah UMNO dalam kalangan masyarakat negara kita hari ini.

“Apa pun, ‘all the best’. Berjuanglah dengan sihat dan berpencaklah dengan penuh matang. Niatkan semua ini untuk parti yang kita sayang,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.