Pencalonan Kian Rancak, Bukti Perjuangan UMNO  Tidak Mati Dipertengahan Jalan – Nazifuddin

 

KUALA LUMPUR, 26 Feb – Proses pendaftaran bagi pemilihan UMNO 2023 yang kian rancak menjelang tarikh tutup pencalonan pada hari ini membuktikan parti tersebut tidak ketandusan pemimpin selain menunjukkan sambutan daripada pelbagai peringkat yang sedia menawarkan diri untuk membantu parti menerusi pelbagai jawatan yang dipertandingkan.

Perkara ini turut diakui oleh anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Mohd Nazifuddin yang berpandangan perkembangan tersebut satu perkara yang amat baik untuk parti berkenaan.

Beliau yang menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia seterusnya berkata sehingga ke hari ini, UMNO terus menjadi tumpuan di sebalik pelbagai tohmahan dan pelbagai lontaran oleh pelbagai pihak.

“Ramai musuh-musuh UMNO kata… UMNO sudah nak mati tetapi sebenarnya sehingga ke hari ini UMNO tidak pernah mati sebaliknya terus menjadi tumpuan rakyat dan juga kilang untuk mencari pemimpin.

“Kebanyakan pemimpin negara datang daripada UMNO dan itu fakta. Kita mahu UMNO terus membimbing anak muda untuk menjadi pemimpin negara satu hari nanti… sebab sejarah dan struktur UMNO sudah lama ada dan kita mahu kuatkan balik, insya Allah,” katanya kepada UMNO-Online.

Beliau seterusnya berharap para perwakilan Pemuda khususnya dan ahli parti dapat membuat pilihan yang sebaiknya dalam membuat pemilihan kepimpinan parti kelak.

“Harap perwakilan memberikan saya peluang untuk menggalas tanggungjawab ini dalam usaha menarik anak muda bersama UMNO dan kita sama-sama perjuangkan UMNO kembali kepada zaman kegemilangan agar parti terus bersama rakyat,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.