Pemilihan UMNO Tawaran Persahabatan, Perkasa Agenda Parti – Badruddin
KUALA LUMPUR, 26 Feb – Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin berpandangan Pemilihan UMNO bagi sesi 2023/2026 ini adalah suatu bentuk peralihan kepimpinan yang merangkumi tawaran terbaik kepada parti keramat ini.
Katanya, Pemilihan ini juga meliputi sisi baharu dalam membawa agenda nilai perjuangan dibawa berterusan oleh kepimpinan parti.
“Pemimpin datang dan pergi daripada zaman datuk dan nenek kita dahulu, ini adalah suatu peralihan sihat saya tidak mahu sebut pertandingan tetapi sebagai menawarkan diri sebagai satu persahabatan.
“Jadi jangan ada satu perasaan tertentu kerana kita berjuang kerana Allah jadi biarlah Allah menentukan di mana kedudukan kita.
“Kalau kita ikhlas insya-Allah akan berkati perjuangan kerana UMNO ini telah banyak berbakti, ini bukan suatu perjuangan yang mudah dalam
dunia inilah tinggal parti yang sebegitu lama masih lagi menjadi kerajaan pada hari ini walaupun kita bersama dengan rakan-rakan yang lain,” katanya ketika ditemui UMNO Online.
Beliau dalam pada itu memaklumkan akan mempertahankan jawatan sebagai Pengerusi Tetap UMNO pada sesi Pemilihan kali ini.
“Menginfakkan diri saya untuk berjuang kerana Allah dengan menawarkan diri sebagai Pengerusi Tetap, mudah-mudahan kita akan sama-sama berjuang dengan rakan-rakan supaya UMNO akan terus disayangi dan dihormati.
“… yang pentingnya seperti yang selalu saya pesan masa persidangan kita berjuang ini kerana Allah SWT jadi mudah-mudahan kerana kita semua berpegang kepada niat sedemikian Allah akan berkati perjuangan ini,” ujar beliau.
Mengulas lanjut Badruddin menambah, pembentukan Kerajaan Perpaduan ini juga menunjukkan bahawa parti ini sentiasa relevan dalam memperkasa hasrat membela nasib rakyat di negara ini.
“Rakyat masih sayang kepada kita, bukan hanya orang Melayu ataupun ahli UMNO tetapi rakyat.
“Insya-Allah kita menggamit lapisan muda supaya menghayati perjuangan datuk dan nenek kita dahulu untuk membalas budi supaya generasi-generasi muda ini memahami apa itu perjuangan,” katanya. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib