Kluster Mahkamah PPBM Tiada Kaitan Dengan Kerajaan Atau Agenda Politik – Zaidy

KUALA LUMPUR, 22 Feb – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Zaidy Abdul Kadir berkata kenyataan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengaitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan pendakwaan melibatkan Wan Saiful Wan Jan sebagai tidak bertanggungjawab.

Katanya ini kerana, siasatan tersebut dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tiada kaitan dengan kerajaan mahupun agenda politik.

“Apa yang berlaku pada hari ini tidak berkait dengan kerajaan, dikatakan kita yang merancang atau pendakwaan terpilih sedangkan SPRM telah membuat siasatan dan mempunyai bukti kukuh jadi bermula pendakwaan… itu sahaja.

“Kalau tidak bersalah tegakkan keadilan di mahkamah tidak perlu untuk tuduh orang lain, hendak salahkan Zahid sedangkan dia bukan Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Menurutnya, Muhyiddin sengaja bersikap demikian kerana perkara tersebut tidak memberikan keuntungan kepada dirinya dan PPBM.

“Biasalah kalau zaman dia jadi kerajaan dia kata pendakwaan ini tidak terpilih, tetapi apabila kita jadi kerajaan kata ini adalah pendakwaan terpilih.

“Muhyiddin ini dengan siapa pun dia akan bermusuh, kalau menguntungkan di pihak dia akan puji.

“Kita nampak Muhyiddin ini memang suka bergaduh dengan orang lain, mungkin itu cara dia lagipun masa kita hendak tubuhkan kerajaan sebelum ini pun dia sombong kerana tidak mahu berjumpa dengan Presiden malah sehingga ke hari ini tidak habis-habis hendak bermusuh dengan Presiden, apa salah Zahid? Tidak ada pun,” ujar beliau.

Semalam, bekas Ketua Penerangan PPBM Wan Saiful dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.