Kembalikan Semula Kepercayaan Rakyat Melalui Usaha Pemulihan UMNO – Khaled
KUALA LUMPUR, 21 Feb – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bertekad untuk mengembalikan semula kepercayaan rakyat terhadap UMNO yang dikatakan semakin menghilang melalui usaha pemulihan.
Jelasnya, beliau sedar pada saat ini, UMNO tidak berada dalam keadaan baik serta dianggap jauh dari orang Melayu.
“Saya sedar, dalam keadaan dan saat ini UMNO tidak berada dalam kedudukan yang terbaik dan dianggap jauh dari orang Melayu.
“Jadi, dengan kesedaran dan tekad untuk mengembalikan semula kepercayaan yang hilang melalui usaha pemulihan serta bekerja bersama-sama semua sama-sama untuk bangkitkan kembali parti keramat ini,” katanya menerusi video yang dimuat naik di aplikasi TikTok.
Dalam pada itu, beliau mengumumkan menawarkan diri bagi jawatan Naib Presiden UMNO dan berharap agar para perwakilan serta akar umbi memberikan keizinan kepadanya untuk memperkukuh semula parti.
“Saya Mohd Khaled Nordin ingin umumkan penawaran diri saya sebagai Naib Presiden UMNO bagi penggal 2023-2026 dengan tujuan semata-mata untuk berkhidmat dan meneruskan bakti pada parti.
“Saya sedar berbekalkan kepada segala kekuatan dan juga kelemahan yang ada pada diri saya, saya berharap mendapat keizinan semua agar saya dapat meneruskan ikhtiar untuk kita memeta semula perjalanan parti kita ini untuk masa kini dan juga masa akan datang. Insya-Allah.
“Saya percaya dengan segala sokongan dan bantuan yang diberikan oleh kepimpinan serta ahli-ahli parti di semua peringkat kita akan dapat terjemahkan kerja keras ini demi agama, bangsa dan juga tanah air,” katanya lagi.
Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri Cawangan telah bermula pada 1 Februari serta akan berakhir pada 26 Februari 2023.
Pada 11 Mac 2023 akan diadakan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pergerakan Pemuda serta Puteri Bahagian. Pada tarikh yang sama turut akan diadakan Pemilihan Exco Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.
Pemilihan UMNO akan berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. – UMNO Online