Hasmuni Beri Laluan Pada Dr Akmal Tanding Jawatan Ketua Pemuda UMNO
KUALA LUMPUR, 21 Feb – Setiausaha Pemuda UMNO Datuk Hasmuni Hasan berjiwa besar apabila memutuskan jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia ditandingi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Akmal Salleh.
Terdahulu beliau sebelum ini telah mengumumkan akan bertanding bagi jawatan terbabit namun demikian, menyerahkan kepada Dr Akmal bagi mencalonkan diri sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia.
Hasmuni telah menawarkan diri bagi bertanding jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Jelasnya, Dr Akmal yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jasin adalah calon yang paling layak menduduki jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia.
“Saya mengambil pendekatan dengan berjiwa besar untuk tidak bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dan melihat bahawa ADUN Merlimau Dr Akmal Salleh adalah calon yang paling sesuai menjawat jawatan ini.
“Saya melihat sentimen paling kuat sekali mahukan calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ini berumur 40 tahun ke bawah dan merupakan seorang ahli Yang Berhormat,” katanya pada sidang media di Menara Dato’ Onn, semalam.
Terdahulu dalam sidang media lalu, Hasmuni telah menawarkan diri bertanding pada pemilihan UMNO 2023-2026 sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia manakala Dr Akmal Salleh menjawat sabagi Setiausaha Pemuda UMNO.
Sementara Dr Akmal memohon sokongan agar diberikan peluang menjawat jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
“Dengan sukacitanya saya ingin mengumumkan bahawa saya akan menawarkan diri menjawat jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan memohon bantuan, sokongan dan doa dari rakan-rakan agar Pemuda UMNO ini dapat dibawa dengan cara kita,” katanya.
Dalam masa yang sama, Ketua Pergerakan UMNO Negeri Johor, Mohd Hairi Md Shah menawarkan diri sebagai Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia lantas menyeru kepada seluruh ahli UMNO agar memberikan sokongan bagi memastikan parti ini dapat melahirkan pimpinan generasi yang lantang bersuara.
“Saya memohon dan menyeru kepada semua ahli-ahli pergerakan Pemuda UMNO di seluruh Malaysia sama ada di peringkat cawangan untuk pastikan keluar mengundi dan bersidang pada 11 Mac ini. Saya mohon menyokong dan mendukung kami untuk melahirkan kepimpinan generasi yang lantang bersuara, insya-Allah,” jelasnya.
Terdahulu pendaftaran bagi proses Pemilihan UMNO 2023 telah dibuka bermula 13 sehingga 26 Februari 2023 di Auditorium Menara Dato’ Onn bagi jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Exco Wanita, Pemuda dan Puteri.
Sementara itu bagi pemilihan jawatan di peringkat bahagian, Wanita, Pemuda, Puteri bahagian, pendaftaran juga telah dibuka di Pejabat UMNO Bahagian atau Perhubungan UMNO Negeri. – UMNO Online