Negara Tak Perlukan Petualang Guna Isu Perkauman Melampau – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 14 Feb – Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Melaka Dr Akmal Saleh berkata negara ini tidak memerlukan petualang yang menggunakan isu perkauman melampau.

Tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu, kerajaan juga perlu bertindak tegas dengan menarik kerakyatan individu berkenaan.

“Kami tidak mahu hanya permohonan maaf dari si rasis ini, tetapi kami mendesak agar pihak kerajaan untuk menarik kerakyatan terhadap si rasis ini dan kepada mana-mana pelaku yang sengaja menimbulkan sentimen perkauman yang melampau,” kata Exco Kerajaan Negeri Melaka itu lagi dalam satu hantaran di Facebook.

Malam tadi, Dr Akmal telah membuat laporan polis (No. laporan polis: MLIMAU/000459/23) di Balai Polis Merlimau terhadap bekas pemain pelapis percubaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Bong Guang Yik yang mengeluarkan kenyataan bersifat rasis melampau.

Dr Akmal juga memohon agar semua pihak membuat laporan polis yang sama di seluruh negara untuk mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu tersebut.

“Tiada ruang untuk petualang sebegini di dalam negara kita,” tegasnya sekali lagi.

Guang Yik baru-baru ini di dalam satu video mendakwa bahawa prestasi pemain negara merudum kerana BAM diuruskan oleh orang Melayu selain menyentuh ibadat dan sensitiviti umat Islam.

Susulan kenyataan berbaur perkauman menerusi video yang dimuat naik di akaun media sosialnya dan selepas dikecam dari pelbagai pihak, Guang Yik tampil memohon maaf. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit