Gempa Bumi Turkiye: Wanita UMNO Seru Rakyat Malaysia Bersolidariti

KUALA LUMPUR, 8 Feb – Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyeru semua rakyat di Malaysia dan di seluruh dunia untuk bersama-sama bersolidariti dan memberikan sokongan kepada mereka yang terjejas oleh bencana gempa bumi terutama di Turkiye dan Syria.

Dalam satu kenyataan, Dr Noraini turut menyatakan kekaguman dan berterima kasih di atas keberanian dan ketabahan sukarelawan serta penyelamat yang mempertaruhkan keselamatan diri dalam membantu magsa yang memerlukan.

“Dengan kemampuan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Malaysia (SMART) akan berada di lapangan untuk memberikan bantuan dan sokongan kepada mangsa tragedi ini, saya yakin bahawa mereka akan melakukan yang terbaik untuk membantu dalam usaha pemulihan di rantau ini.

“Ikhtiar dan kesungguhan mereka benar-benar memberi inspirasi dan memberi teladan kemanusiaan yang terbaik dalam mendepani malapetaka,” kata Ahli Parlimen Parit Sulong itu lagi.

Justeru, Dr Noraini juga mengajak semua rakyat mendoakan kesejahteraan mereka yang terjejas oleh tragedi ini dan melakukan apa yang termampu untuk menyokong mereka pada saat ini dengan semangat persaudaraan dan kemanusiaan yang sejati.

Gempa bumi kuat dilaporkan melanda wilayah selatan Turkiye Kahramanmaras pada awal pagi Isnin, dan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye memaklumkan gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter yang berlaku pada 4.17 pagi (0117GMT) waktu tempatan itu berpusat di daerah Pazarcik dengan meragut ribuan nyawa. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit