Mesyuarat Cawangan Platform Muhasabah Diri, Perkukuh Perpaduan Dalam Kalangan Ahli UMNO

KUALA LUMPUR, 7 Feb – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Subang, Alfie Zainal berpandangan mesyuarat Cawangan yang diadakan di seluruh negara sebagai medan memperkukuh parti serta perpaduan dalam kalangan ahli.

Beliau juga meluahkan kepercayaan agar pengukuhan ini juga membawa signifikannya yang tersendiri terutama kepada perjuangan parti keramat ini.

“Selamat bersidang saya ucapkan kepada ahli-ahli UMNO di peringkat cawangan-cawangan seluruh negara.

“Jadikan persidangan ini sebagai platform muhasabah diri setelah kita dihukum oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Mari kita bersama kukuhkan parti.

“Bergerak atas satu barisan, satu tujuan dan satu perjuangan. Mudah-mudahan UMNO akan terus mara di dalam memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air tercinta. Semoga persidangan dan pemilihan tahun ini berjalan dengan lancar dan diberkati Allah SWT,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Untuk rekod, mesyuarat Cawangan dan pemilihan bagi jawatankuasa Cawangan, Pemuda, Wanita dan Puteri Cawangan akan berlangsung selama 26 hari sehingga 26 Februari ini.

Manakala Mesyuarat perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli MKT UMNO juga akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac depan.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan EXCO Wanita, EXCO Pergerakan Pemuda dan EXCO Pergerakan Puteri UMNO Pusat pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac 2023 (Sabtu). – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.