Teruskan Gerak Kerja Berkhidmat Demi Rakyat, UMNO Perteguh Perpaduan Demi Cabaran Mendatang – Norsabrina

KUALA LUMPUR, 27 Jan – Ahli-ahli UMNO diminta untuk terus melaksanakan khidmat bakti kepada rakyat dalam usaha memastikan parti ini kembali teguh lantaran kewujudan UMNO adalah manifestasi keutamaan demi agama, bangsa dan negara.

Demikian tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor yang tidak alpa melaksanakan amanah dengan turun padang menyantuni orang ramai.

Katanya, pasca-Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan pasca-Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 adalah kayu ukur terbaik bagi meletakkan kembali keupayaan UMNO selaku parti yang menjadi tunjang dalam khidmat bakti kepada rakyat.

“Memang kita tidak boleh bersandarkan kepada sejarah kegemilangan UMNO yang telah lebih 70 tahun melakari pembangunan dan kemajuan tanah air kerana kita perlu berupaya menerajui masa hadapan namun tidak ada sesiapa yang boleh menafikan bahawa UMNO adalah parti politik yang teguh dengan asas tujuan nyata.

“UMNO ini parti yang relevan sepanjang zaman kerana kewujudannya adalah atas perjuangan demi agama, bangsa dan negara iaitu diaplikasi dalam apa-apa perkara yang semuanya nyata malah berbeza jika dibandingkan dengan parti-parti politik lain.

“Hari ini kita berpijak di bumi nyata dengan menerima keputusan PRU15 dan juga PAU2022. Apa yang pasti kita mesti teruskan perjuangan dan kembalikan UMNO kepada landasan bagi mendapatkan kembali sokongan daripada rakyat keseluruhannya,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya, keputusan daripada pucuk pimpinan parti dan perwakilan PAU2022 perlu dihormati dan meyakini keupayaan untuk bangkit dan kembali teguh dalam landskap politik negara.

“Kita menerima hakikat bahawa UMNO telah menyokong Kerajaan Perpaduan yang diaplikasi demi kesejahteraan rakyat dan negara. Maka kerana itu kita sama-samalah bekerja kerana rakyat akan menilai setiap yang dilaksana.

“Kedudukan kita dalam UMNO adalah bagi meneruskan agenda membantu rakyat, terus berkhidmat dan kemudian perteguh kesatuan kita dalam parti bagi menghadapi pelbagai lagi cabaran masa hadapan yang antaranya adalah Pilihan Raya Negeri (PRN),” katanya.

Dalam hal ini, beliau yakin bahawa UMNO/Barisan Nasional akan kembali bangkit lantaran keupayaan untuk terus bersama dan perteguh perpaduan. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.