Jangan Terperangkap Dalam Mainan Angka MB Kedah, Pesan Shaiful Hazizy

KUALA LUMPUR, 6 Jan – Seluruh jentera dan ahli UMNO Kedah seharusnya tidak terperangkap dalam mainan angka oleh Menteri Besar (MB) negeri itu, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, sebaliknya perlu terus fokus dalam memberikan penjelasan dan pemahaman kepada ahli serta rakyat di negeri berkenaan.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin dalam kenyataan kepada UMNO-Online berkata, menerusi pelbagai medium khususnya melalui Jelajah #BinaSemula yang sedang giat dilakukan, insya-Allah usaha dan fokus ke depan dapat dilaksanakan sebaiknya.

“Kita perlu terus fokus dalam memberikan penjelasan dan pemahaman kepada ahli serta rakyat di negeri ini khususnya melalui Jelajah #BinaSemula yang sedang giat dilakukan bagi memastikan jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah tidak lama lagi.

“Keputusan PRU yang lepas telah memperlihatkan perubahan landskap politik di negeri Kedah. Perkara ini perlu diterima dan kita perlu akur bahawa UMNO serta BN tidaklah berada di zon yang selesa,” katanya.

Kata beliau lagi, hakikatnya, semua pihak perlu mengambil pengajaran dan iktibar di atas kekalahan di dalam PRU yang lalu untuk merencana langkah dan pergerakan seterusnya.

“Walau bagaimanapun, UMNO Kedah tidak sama sekali perlu terus meratapi kekalahan tersebut sebaliknya perlu kembali bingkas dalam memeta strategi dan pendekatan baharu demi memastikan landskap politik di negeri Kedah ini berubah semula dan berpihak kepada kita.

“Kepada MB Sanusi, harapan saya agar MB Sanusi tidak hanya ghairah berpolitik dan hanya mencongak angka bagi PRN yang akan datang sehingga melupakan tujuan sebenar menyertai politik iaitu untuk membantun rakyat.

“Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat serta krisis ekonomi yang bakal berlaku pada tahun ini, sewajarnya isu kebajikan rakyat perlu dipandang serius oleh MB Sanusi serta seluruh Exco Kerajaan Negeri Kedah.

“Gunalah keghairahan mencongak angka tersebut dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat di negeri Kedah seperti yang telah dijanjikan sebelum PRU-15 yang lalu dan janganlah biarkan rakyat negeri Kedah terus terhimpit dan menderita dalam menantikan bantuan MB Sanusi yang masih belum kunjung tiba,” tambahnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit