PAU 2022: Agenda Perkasa Parti Diteruskan… Semangat Wanita UMNO Tidak Pernah Luntur – Rosni
KUALA LUMPUR, 5 Jan – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) bakal berjalan seperti biasa dan agenda untuk memperkasakan parti masih diteruskan, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Rosni Sohar.
Jelasnya yang juga Setiausaha Wanita UMNO, meskipun UMNO/Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu, semangat Wanita UMNO tidak pernah luntur untuk memperkasakan parti dan pelbagai program bakal diadakan menjelang PAU yang bakal berlangsung pada minggu hadapan.
“Bagi saya keadaan PAU ini masih berjalan seperti biasa, kita masih memperkasakan parti. Makin kita kalah, makin semangat kita membara untuk memperkasakan parti.
“Alhamdulilah, Wanita UMNO akan mengadakan pelbagai program sewaktu wave menjelang PAU nanti antaranya Majlis Penghargaan Skuad Sayang pada 11 Januari untuk menghargai jasa mereka.
“Insya-Allah, Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan hadir ke majlis ini dan semua pemimpin dijemput hadir,” katanya kepada UMNO Online.
Menurut beliau, pameran ‘Wanita Kreatif’ daripada 13 negeri dan pemeriksaan kesihatan secara percuma oleh Skuad Sayang akan turut diadakan bagi meneruskan kesinambungan program-program ini seperti sebelumnya.
“Sepanjang PAU kita akan adakan pameran ‘Wanita Kreatif’ daripada 13 negeri dan mana-mana wanita yang mempunyai daya tentang kreativiti yang diinovasi, maka mereka akan membawa produk untuk dipamerkan serta mengambil tempahan.
“Begitu juga dengan Skuad Sayang, mereka akan memainkan peranan dengan mengadakan pameran, jualan dan pemeriksaan kesihatan secara percuma di booth mereka.
“Jadi, inilah antara program-program yang Wanita UMNO buat dan tidak pernah putus daripada dahulu sehingga sekarang. Kesinambungan ini amat penting walaupun kita sudah tewas pada PRU ke-15, tetapi kita tidak pernah tewas dalam erti perjuangan Wanita,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Rosni turut mengharapkan agar semua perwakilan hadir untuk merasai denyut nadi perjuangan UMNO.
“Saya mengharapkan semua perwakilan hadirlah beramai-ramai kerana kita ada sebanyak 95 booth jualan dan kita perlukan mereka ini hadir bagi merasai denyut perjuangan UMNO ini.
“Kita mengharapkan agar UMNO terus berada di hati orang Melayu bagi menentukan UMNO terus diperkasakan. Kita tidak pernah longlai, apa pun yang berlaku sama ada menang atau kalah UMNO akan terus diperkasakan demi orang Melayu dan agama Islam,” katanya lagi.
Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 11 hingga 14 Januari 2023.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, turut dijadualkan berlangsung dalam PAU 2022 adalah Perhimpunan Agung Khas pada hari Jumaat. – UMNO Online