Jawatan Presiden/Timbalan Dipertanding Atau Tidak, Biar Perwakilan Tentukan – Zahid
KUALA LUMPUR, 27 Dis – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada perwakilan parti sama ada jawatan Presiden dan Timbalan dipertandingkan atau tidak.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata ini kerana sebagai pemimpin yang berpegang kepada prinsip demokrasi padanya keputusan itu perlu ditentukan oleh perwakilan.
“Sebagai seorang demokrat, saya serahkan kepada perwakilan untuk menentukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program wawancara khas ‘Jawab, Saya Tanya!’ bertajuk Rekonsiliasi Politik: Apa Untung Pada Negara? yang bersiaran secara langsung di laman Facebook dan YouTube terbitan NRChannel TV malam ini.
Ahmad Zahid turut memaklumkan bahawa keterbukaan beliau terbukti pada pemilihan pada 2018 lalu yang menyaksikan jawatan bagi kedua-dua jawatan tersebut dipertandingkan meskipun cadangan daripada Perhimpunan Agung UMNO 2017
adalah sebaliknya.
“Iya saya mengakui bahawa pada 2018 walaupun keputusan dalam Perhimpunan Agung 2017 meminta supaya Presiden dan Timbalan tidak ditandingi tetapi apabila saya menjalankan tugas sebagai Presiden pada ketika itu telah memutuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi bahawa semua jawatan boleh dipertandingkan,” ujar beliau. – UMNO Online