UMNO Perlu Responsif, Sensitif Sentimen Rakyat Untuk Teruskan Perjuangan

KUALA LUMPUR, 15 Dis – Untuk meneruskan perjuangan, UMNO sebagai parti politik wajar mengambil pendekatan yang responsif dengan tuntutan rakyat dan sensitif terhadap sentimen rakyat, kata Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia (O2), Anis Anwar Suhaimi.

Jelasnya, meskipun UMNO/Barisan Nasional (BN) mengalami tsunami penolakan politik dari kaum India dan Cina sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 dan 13, parti tersebut masih berupaya untuk membentuk kerajaan dengan sokongan orang Melayu.

“UMNO/BN mengalami gelombang penolakan etnik bermula dari tsunami politik masyarakat India semasa PRU ke-12 dan seterusnya gelombang penolakan tsunami politik kaum Cina PRU ke-13, tetapi, cukup dengan sokongan orang Melayu, UMNO/BN masih kekal berupaya kekal sebagai kerajaan.

“Apabila menjelang PRU ke-14, UMNO/BN pertama kali terkeluar dari pemerintahan apabila tsunami politik Melayu berlaku dan terus bergelora sehingga PRU ke-15, menyebabkan BN hanya memperoleh 30 kerusi parlimen sahaja,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut Anis, UMNO perlu bertindak sewajarnya agar parti tersebut dilihat sedia berubah dengan landskap politik dan cabaran semasa bagi memastikan kelangsungannya terjaga.

“Namun secara prinsipnya, UMNO sebagai parti politik dan sebahagian daripada kerajaan kini wajar mengambil pendekatan responsif dengan tuntutan rakyat serta sensitif terhadap sentimen rakyat agar parti dilihat sedia berubah dengan landskap politik semasa.

“Dengan segmen masyarakat yang semakin berpola, UMNO wajar mengambil sikap berlapang dada dan menjadi inklusif melibatkan pihak, individu atau pemimpin dari pelbagai latar belakang berbumbungkan parti agar mewakili lebih ramai segmen masyarakat. Mengecilkan pengaruh UMNO dalam kelompok tertentu akan mendedahkan UMNO kepada risiko menjadi semakin eksklusif,” katanya lagi.

Keputusan PRU ke-15 menyaksikan BN memperoleh 30 kerusi, PH (82), PN (73), GPS (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi.

BN pada mulanya membuat keputusan untuk menjadi pembangkang, kemudian berkecuali dan akhirnya menyerahkan 30 kerusi untuk pertimbangan kebijaksanaan Yang Dipertuan Agong untuk menentukannya seperti mana turut diputuskan oleh GPS dan GRS. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit