Pasca-PRU15: UMNO Kedah Perlu Kemaskan Langkah Hadapi PRN – Shaiful Hazizy

KUALA LUMPUR, 8 Dis – Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berpandangan kekalahan calon Pakatan Harapan (PH) di Padang Serai, walaupun disokong oleh rakan-rakan parti gabungan Kerajaan Perpaduan perlu diterima dengan hati yang terbuka dan insafi diri pola peralihan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

Menurut beliau, semua perlu akur dan menjadikan keputusan Parlimen Padang Serai ini sebagai satu iktibar untuk menilai kelemahan, memperbaiki dan merancang strategi berkesan seterusnya kembali bangkit bagi meraih kepercayaan rakyat untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah pada tahun hadapan.

“Ini adalah masa yang terbaik menilai semula kekuatan yang ada dan memastikan sinergi di antara rakan parti di dalam Kerajaan Perpaduan ini dapat dimaksimumkan. Satu kajian yang menyeluruh perlu dilakukan bagi mencari sebab penolakan terhadap BN di Kedah.

“Kekalahan di Padang Serai bukanlah indikator mutlak merumuskan penolakan rakyat terhadap gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN) kerana di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman kerjasama PH-BN ini telah berjaya menzahirkan kemenangan,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.

Kata beliau lagi jika dibandingkan dengan di DUN Tioman, pengumuman kerjasama di Padang Serai dibuat agak lewat dan ini mungkin menjadi faktor pengundi terkeliru dan tidak mendapat maklumat yang menyeluruh mengenai kerjasama PH-BN ini.

Ditambah pula tambah beliau dengan gelombang yang ditiup oleh pihak lawan yang membawa sentimen perkauman, keagamaan sempit yang menakutkan masyarakat dan rakyat dalam berpolitik.

“Apa jua keputusan, fokus dan tumpuan kini perlu diberikan kepada PRN Kedah yang akan berlangsung pada tahun hadapan.

“Saya yakin dan percaya, melalui perangkaan strategi awal yang berkesan ditambah dengan usaha turun padang serta menyantuni akar umbi bagi menerangkan kekuatan kerjasama parti di dalam Kerajaan Perpaduan, Insya-Allah angin perubahan mampu dilakukan di negeri Kedah ini pada PRN akan datang,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit