Anak Muda Jangan Putus Asa, Terus Istiqamah Dalam Perjuangan UMNO/BN

KUALA LUMPUR, 2 Dis – Anak muda yang setia kepada perjuangan UMNO/Barisan Nasional (BN) dinasihatkan untuk tidak berputus asa dan beristiqamah dengan mendalami semula segala kekurangan serta memperbaikinya dari pelbagai aspek.

Pengarah Komunikasi Strategik Sekretariat NGO Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Nazrin Faiz berkata, tugas untuk mengambil kembali hati rakyat perlu dilaksanakan dengan sebaiknya bagi menjamin kelangsungan parti.

“Kepada anak muda yang setia kepada perjuangan UMNO/BN, kita kena sedar bahawa kita mempunyai satu tugas yang agak besar iaitu mengambil semula hati rakyat di kala kita mendapat kerusi agak minima.

“Kita juga kena sedar bahawa terdapat tugasan yang sangat dekat terutamanya untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung di enam buah negeri. Kita perlu fokus kepada merapatkan kembali saf kita dan memastikan bahawa semangat kita tidak luntur,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut Mohd Nazrin, anak muda yang mendukung perjuangan UMNO/BN perlu lebih memberikan fokus kepada strategi untuk mendapatkan kembali kepercayaan rakyat serta tawaran yang boleh diberikan kepada anak muda khususnya pengundi kali pertama.

“Kita tidak boleh lagi bercerita tentang apa yang telah berlaku. Kita kena fokus kepada strategi untuk mendapatkan semula kepercayaan rakyat dan yang paling penting tawaran kepada mereka yang mengundi untuk kali pertama.

“Pada peringkat pra Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang lalu kita terlalu fokus kepada Pakatan Harapan (PH). Maka saya rasa, kita juga perlu untuk menjadi semak dan imbang kepada Perikatan Nasional (PN). Adakah mereka melaksanakan tugas dengan sebaiknya selepas mereka dipilih menjadi wakil rakyat?” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa kalah dan menang itu adalah adat dalam perjuangan serta menyeru anak muda untuk terus beristiqamah.

“Kalah dan menang adalah satu perjuangan. Tetapi kita orang UMNO, kita kena muhasabah, kita kena teruskan istiqamah dalam perjuangan kita. Terutamanya hari ini walaupun kita 30 kerusi, kita menjadi penentu ataupun king maker dalam pembentukan kerajaan hari ini.

“Anak muda jangan berputus asa, kita ada banyak platform, kita explore, teruskan usaha kita. Mungkin sebelum ini kita rasa cara kita buat di Johor berjaya tetapi kita kena kenal pasti apakah cara-cara yang lebih baik terutamanya untuk menyantuni anak muda. Keep fighting, kita kena ingat we lost this battle tetapi we didn’t lost the war,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.