Menangkan Calon BN, Visi Bangunkan Masjid Tanah Daerah Baharu

MELAKA, 14 Nov – Visi utama Masjid Tanah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 ini adalah untuk mewujudkan kestabilan dan kemakmuran serta membangunkan kawasan ini sebagai satu daerah baharu.

Ketua Wanita UMNO Negeri Melaka, Datuk Latipah Omar berkata, sekiranya calon yang dipertaruhkan di Masjid Tanah menang pada PRU ke-15 ini, pembangunan yang dijanjikan untuk kawasan tersebut akan dipantau secara menyeluruh dalam masa lima tahun.

“Visi kita di Masjid Tanah ini adalah pertamanya selain daripada kestabilan dan kemakmuran, kita juga nak memastikan supaya Masjid Tanah ini apabila calonnya menang, kita nak merapatkan hubungan sesama kita semula.

“Keduanya, seperti yang pernah disebutkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa kita nak membangunkan Masjid Tanah ini sebagai sebuah daerah baharu. Sekiranya kita memperoleh kemenangan ini, Insya-Allah ianya akan dipantau dalam jangka masa lima tahun,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, apabila ditanya mengenai penyandang kerusi Parlimen yang ‘melompat’ selepas kekalahan UMNO/Barisan Nasional (BN) pada PRU ke-14 lalu, Latipah berpendapat bahawa bukan beliau sahaja yang mampu untuk menabur jasa di Masjid Tanah.

“Bukan dia (Mas Ermieyati Samsudin) sahaja yang berjasa, tetapi ada orang yang lebih baik lagi berjasa terdahulu daripadanya. Kita akan pastikan yang menang selepas ini akan lebih banyak menaburkan jasa. Bukan menaburkan ‘mangkuk tingkat’ sahaja.

“Insya-Allah kita akan menang. Kita akan buktikan pada 19 November ini. Kata sepakat muafakat untuk membentuk Masjid Tanah mencapai kemenangan yang mutlak adalah UMNO/BN,” katanya lagi.

Dalam pada itu beliau yang juga Pengerusi Wanita BN Melaka turut merayu kepada seluruh warga Masjid Tanah untuk memberikan kemenangan kepada calon UMNO/BN bagi mewujudkan bandar baharu yang terbaik.

“Berilah mandat kepada Abdul Hakim (Abdul Hakim Abdul Wahid – calon BN) dan saya minta kepada semua Jalinan Rakyat (JR), pastikan kita rampas semula Masjid Tanah ini ke pangkuan UMNO/BN.

“Janji kita akan dikota, tidak akan ‘dicapati’ tetapi ditepati. Insya-Allah akan wujudnya bandar baharu yang lebih baik dari sekarang,” katanya lagi.

Parlimen Masjid Tanah merupakan kubu kuat UMNO/BN sejak merdeka namun tindakan penyandang kerusi parlimen tersebut ‘melompat’ mengakibatkan parti tersebut hilang kuasa di kerusi itu.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 ini, UMNO/BN berhasrat untuk merampas semula kawasan ini bagi menyumbang satu kerusi dalam membentuk kerajaan di Putrajaya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.