BR1M Dikatanya Rakyat Manja, Tabung Harapan Kerajaan PH Malas?
NIBONG TEBAL, 29 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO Nibong Tebal berasa amat kesal dengan pemansuhan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) atau Bantuan Sara Hidup seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.
Jelas ketuanya Mohd Norhiesam Ismail, tindakan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk menghapuskan BR1M atas alasan tidak mahu terlalu memanjakan rakyat sehingga terpaksa bergantung kepada kerajaan sebenarnya adalah satu alasan yang tidak boleh diterima pakai sama sekali.
“Seharusnya sebelum kerajaan mengeluarkan kenyataan sedemikian mereka harus mencermin diri sendiri.
“Sekiranya mereka menuduh tidak mahu memanjakan rakyat maka bagaimana pula dengan sikap kerajaan yang meminta untuk rakyat menderma kepada Tabung Harapan bagi menyelesaikan hutang negara.
“Sebenarnya, bukan rakyat yang bersikap manja dan bergantung kepada kerajaan, tetapi kerajaan PH yang bergantung kepada rakyat dan malas berusaha mencari dana bagi menyelesaikan hutang negara. Kerana itulah kerajaan PH hanya mengambil cara mudah iaitu dengan meminta kepada rakyat,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.
Tambah Norhiesam, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan prihatin, seharusnya mereka peka dengan masalah kos sara hidup yang menghimpit rakyat apatah lagi apabila cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bakal dikuatkuasakan bermula 1 September ini.
“Sudah menjadi bualan dan mungkin harga barang akan melonjak naik apabila SST dilaksanakan. Sekiranya kerajaan tetap mahu menghapuskan BR1M maka kami menggesa kerajaan juga harus berhenti mengutip derma untuk Tabung Harapan.
“BR1M yang diperkenalkan oleh kerajaan terdahulu sebenarnya telah banyak membantu kehidupan rakyat malah ada yang berjaya memulakan perniagaan dengan hasil pemberian tersebut.
“Justeru, Pemuda UMNO Nibong Tebal berharap agar kerajaan PH lebih bersikap bertanggungjawab terharap rakyat yang telah memberi undi kepada mereka sehingga berjaya menumbangkan Barisan Nasional yang telah banyak berjasa selama ini,” tegas beliau.
Pemuda UMNO Nibong Tebal juga melihat tindakan kerajaan ini juga merupakan satu penganiayaan dan menzalimi rakyat yang telah memberi mandat kepada Kerajaan PH.
“Kerajaan langsung tidak menyelami permasalahan dan denyut nadi rakyat. Kerajaan PH hanya berbangga dengan slogan ‘Malaysia Baru’ tetapi rakyat terus terbeban,” katanya. – Media UMNO.