Selesai Tunai Tanggungjawab, Harap Beroleh Kemenangan – Rahmad

AYER MOLEK, 20 Nov – Proses pengundian di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek berlangsung lancar hari ini dengan para pengundi mula beratur sebaik pusat-pusat pengundian dibuka.

Bagi calon Barisan Nasional (BN) di DUN Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman selamat menunaikan tanggungjawab pada jam 9.20 pagi di saluran dua bertempat di Sekolah Kebangsaan Paya Dalam, Ayer Molek.

“Syukur Alhamdulillah, hari yang ditunggu telahpun sampai iaitu hari ini dapat menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara yang lain juga.

“Sekarang hendak menunggu keputusan di waktu petang atau selepas jam tujuh baru tahu keputusan awal dan berdoa agar kemenangan berpihak kepada BN di DUN Ayer Molek,” katanya kepada UMNO Online ketika ditemui sebaik selesai mengundi.

Seterusnya, Rahmad turut menghargai dan berterima kasih kepada petugas-petugas yang menjalankan tugas dengan baik sekali.

“Saya ucapkan terima kasih kepada SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) dan petugas dari kawalan keselamatan sehingga ke tempat mengundi yang mana mereka telahpun membuat persiapan lebih awal dengan kursus-kursus dan sebagainya termasuk yang paling penting adalah pematuhan SOP (prosedur operasi standard) kesihatan dalam norma baharu.

“Tempat mengundi pada hari ini nampaknya berjalan dengan lancar dan tiada isu-isu ataupun masalah. Dan begitu juga pengundi orang kurang upaya (OKU) juga dibenarkan mengundi awal.

“Setakat ini lihat disusun dengan baik dan untuk saluran 1,2 dan 3 iaitu orang-orang yang lebih berumur diletakkan di tingkat bawah manakala yang muda di tingkat atas tapi walaupun umur muda dan sekiranya di kalangan OKU juga diletakkan di tingkat bawah,”ujarnya.

SPR menetapkan hari ini sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka manakala hari mengundi awal telah berlangsung pada 16 Nov yang lalu. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.