Wanita MCA Mengutuk Sekeras-Kerasnya Kenyataan Calon PH Kesidang

AYER KEROH, 18 Nov – Wanita MCA mengutuk kenyataan diberikan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang, Allex Seah Shoo Chin yang membangkitkan tindakan parti lain dalam pemasangan bendera dan menyebut parti komponen Barisan Nasional (BN) itu ‘jangan seperti wanita’.

Demikian tegasnya Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie menyifatkan diskriminasi terhadap wanita dan seolah-olah menyatakan wanita adalah penakut dan tidak berterus terang.

“Ini bukan satu contoh pemimpin yang baik, dalam pemikirannya menganggap wanita adalah penakut dan mempunyai persepsi yang rendah terhadap wanita. Wanita MCA berpendapat beliau harus bertanggungjawab dalam kenyataan yang dikeluarkan.

“Sebagai seorang pemimpin dan juga calon PH bagi DUN Kesidang, sifatnya yang tidak jujur, ikhlas dan sanggup berbohong serta tidak mahu bertanggungjawab ke atas kenyataannya.

“Malah beliau sanggup membuat video untuk kali kedua serta menafikan dan memutarbelit kenyataan tersebut adalah bersifat ‘diskriminasi jantina’, sebaliknya menyatakan lelaki ini sememangnya lebih berani,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Seai Kie mengharapkan agar pengundi Kesidang dan Melaka menolak calon PH yang jelas menunjukkan sikap sebenarnya menghina wanita.

“Saya ingin menyeru khususnya pengundi wanita di Dun Kesidang dan Negeri Melaka supaya gunakan undi sebaik-baiknya menolak Allex Chin dan PH.

“Setakat ini tidak nampak mana-mana pemimpin PH termasuk pemimpin wanita mereka tidak memberikan sebarang kenyataan dan menafikan calon Kesidang malah wanita PH seolah-olah tidak memperjuangkan hak wanita,” jelasnya.

Tegasnya lagi, tidak ada gunanya pemimpin PH yang tidak boleh menghormati pengundi wanita, malah angka pengundi wanita adalah separuh daripada jumlah undi keseluruhan, bukan saja di Kesidang tetapi di semua DUN yang dipertandingkan. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.