Van Siar Raya ‘Undilah BN’, LED Bergerak Promosi Calon Hiasi Kempen
MASID TANAH, 15 Nov – Kempen Pilihan Raya Negeri Melaka (PRN) yang memasuki hari kelapan hari ini dan fasa kedua kempen memperlihatkan kreativiti serta pelbagai pendekatan parti-parti yang bertanding mempromosi calon mereka.
Tiga parti utama yang meletakkan calon-calon masing seperti Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) serta Perikatan Nasional (PN) selain daripada Bebas menggerakkan jentera di pelbagai peringkat dalam usaha memastikan pengundi membuat pilihan dengan memilih calon mereka.
BN yang telah pun mengumumkan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu yang juga Ketua Menteri sebelum ini, Datuk Seri Sulaiman Ali sebagai calon Ketua Menteri sekiranya BN diberikan mandat oleh rakyat giat berkempen dengan pelbagai variasi di seluruh Melaka.
Tinjauan UMNO-Online di Kuala Linggi, sebagai contoh van siar raya yang dilengkapi paparan elektronik (LED) poster calon dan ungkapan ringkas Cikgu Rosli (Rosli Abdullah) yang bertanding di DUN Kuala Linggi bergerak ke serata ceruk kawasan dan perumahan.
Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta agensi kerajaan yang lain sepanjang kempen PRN Melaka menyebabkan inisiatif seumpama itu dilaksanakan.
Manakala di DUN Lendu dan Tanjung Bidara juga kelihatan van siar raya yang mempromosi calon-calon di kawasan berkenaan iaitu Datuk Seri Sulaiman Ali dan juga Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang bertanding di DUN Tanjung Bidara.
Begitu juga di DUN Paya Rumput, slogan anak tempatan untuk orang tempatan berlegar-legar menerusi van siar raya berkenaan yang mempromosi calon kawasan tersebut, Datuk Rais Yasin.
Manakala di DUN Sungai Udang, Pantai Kundur dan juga Klebang tidak ketinggalan dengan masing-masing turut menggerakkan kenderaan dan siar raya yang berterusan di sekitar perumahan atau kawasan-kawasan tumpuan.
Iklan menerusi gegantung, sepanduk dan papan iklan yang merupakan kaedah sepertimana biasa sebelum-sebelum ini tidak terganggu dengan SOP terbaru yang dikeluarkan itu dan ianya mula menampakkan sedikit kemeriahan pada fasa kedua kempen ini apabila di tepi-tepi jalan, perang sepanduk dan poster mula kelihatan.
‘Kestabilan Demi kemakmuran’, Izinkan Anak Paya Rumput Ini Berkhidmat Untuk Anda’, ‘Undilah BN Saya Sedia Berkhidmat Untuk Anda’ antara kata-kata yang terpampang pada papan iklan mahu pun sepanduk yang digantung.
Selain itu kempen-kempen menerusi penyebaran risalah dan sebagainya dari rumah-rumah ke rumah oleh jentera masing-masing turut menghiasi kempen PRN Melaka ini.
Begitu juga menerusi media sosial yang turut diperhebatkan dalam usaha memastikan calon BN khususnya mendapat polihan utama sekaligus berjaya membentuk kerajaan negeri 20 Nov nanti. – UMNO Online
Oleh: Azman Abas