Sektor Pelancongan Pahang Dijangka Dibuka Dua Minggu Lagi – Sharkar

KUANTAN, 9 Ogos – Tourism Pahang menjangkakan sektor pelancongan di negeri ini dapat kembali dibuka dalam tempoh dua minggu lagi, melibatkan beberapa destinasi pelancongan terpilih yang bersesuaian.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata pembukaan semula sektor itu melibatkan destinasi yang telah mencapai lebih 80 peratus penduduknya lengkap menerima dos suntikan vaksin COVID-19.

“Antara lokasi yang boleh menerima kedatangan pelancong dalam negeri ialah Bukit Fraser, Pulau Tioman dan Janda Baik dan saya percaya ia akan disusuli destinasi lain apabila penduduk di situ juga selesai menerima vaksin.

“Selain syarat lengkap dua dos vaksin, kita juga perlu meneliti cara terbaik untuk memastikan aktiviti pelancongan yang dijalankan adalah terkawal supaya tidak menjadi punca penularan baharu,” katanya.

Mohd Sharkar berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Latihan Reskilling untuk Industri Pelancongan yang berlangsung secara dalam talian di Pejabat Tourism Pahang di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kelonggaran bagi sektor sosial termasuk pelancongan bagi negeri yang berada dalam Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan individu yang telah menerima vaksinasi lengkap.

Antara aktiviti yang dibenarkan itu melibatkan inap desa dan hotel dengan syarat pengusaha terlibat perlu memastikan individu yang ingin memasuki premis berkenaan menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19.

Bagi menarik semula minat penduduk Pahang kembali bercuti, Mohd Sharkar berkata promosi pelancongan akan diperhebatkan selain menerusi pemberian baucar dan diskaun selain mewujudkan gelembung pelancongan selamat.

Mengulas mengenai program itu, Mohd Sharkar berkata program anjuran Tourism Pahang dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad-Integrated Learning Solution (TNB-ILSAS) itu antara lain bertujuan membantu pengusaha perniagaan pelancongan memperkasakan kakitangan dengan kemahiran baharu dari segi penyuntingan video digital menggunakan rakaman dron dan teknologi realiti maya (VR).

Program yang pertama kali dianjurkan itu memberi peluang kepada 100 pekerja daripada syarikat pelancongan berkaitan di negeri ini mengikuti kursus secara percuma dengan penyertaan berdasarkan ‘first come first serve’. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit