Pembangunan Pusat Data Tertakluk Keupayaan Infrastruktur Bekalan Air

KUALA LUMPUR, 23 Jan – Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad memaklumkan kerajaan mengiktiraf industri pusat data sebagai antara pemacu pertumbuhan ekonomi digital negara.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO bagaimanapun berkata pembangunan industri ini hendaklah dilaksanakan secara seimbang dengan keupayaan infrastruktur bekalan air supaya keterjaminan bekalan air kepada pengguna sedia ada sentiasa terpelihara.

“Setiap cadangan pembangunan pusat data dinilai melalui Data Centre Task Force (DCTF) dengan mengambil kira ketersediaan sumber air, kapasiti sistem bekalan air dan keperluan pengguna sedia ada di kawasan berkenaan.

“Sekiranya kapasiti sistem tidak mencukupi atau pembangunan tersebut berpotensi menjejaskan rizab margin bekalan air, cadangan berkenaan tidak akan disokong untuk diteruskan sehingga keperluan kapasiti bekalan air dapat ditangani,” katanya.

Abdul Rahman berkata demikian ketika menjawab Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) berkenaan langkah dan mekanisme kerajaan bagi memastikan pertumbuhan pesat industri pusat data tidak menjejaskan kecukupan bekalan air negara.

Sementara itu beliau berkata selain kawalan dari aspek kapasiti bekalan, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) turut menetapkan beberapa keperluan khusus bagi pembangunan pusat data melalui Garis Panduan Bekalan Air Bagi Pembangunan Pusat Data.

“Antaranya menggalakkan dan meneroka penggunaan sumber air alternatif seperti air pulih guna (APG), air kitar semula (recycle water) serta sistem penuaian air hujan (SPAH) bagi tujuan penyejukan cooling system di pusat data;

“Mengkehendaki sumbangan modal infrastruktur oleh pemaju bagi menampung kos naik taraf sistem bekalan air sekiranya diperlukan untuk memenuhi keperluan pembangunan;

“Memastikan pematuhan indeks Kecekapan Penggunaan Air (Water Usage Effectiveness – WUE) tidak melebihi 2.2 m3/MWh serta pemasangan Injap Kawalan Aliran (Constant Flow Valve – CFV) bagi meningkatkan kecekapan penggunaan air; dan

“Mengenakan Caj Kapasiti Tidak Digunakan (Unutilised Granted Capacity – UGC) bagi mengelakkan permohonan kapasiti bekalan air yang berlebihan dan tidak digunakan daripada menjejaskan keupayaan agihan kepada sektor lain,” ujar beliau.

Katanya melalui mekanisme penilaian kapasiti, keperluan penggunaan sumber alternatif, tanggungjawab pemaju terhadap infrastruktur serta kawalan ke atas penggunaan dan permintaan air, pembangunan pusat data dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan keutamaan bekalan air kepada rakyat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO