Institusi Raja Bukan Bahan Politik – Farhan Ahmad

KUALA LUMPUR, 20 Nov – UMNO Bahagian Pokok Sena bersama Pergerakan Pemudanya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar berhubung pendedahan dokumen yang didakwa sebagai minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan oleh Tony Pua.

Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena memandang serius tindakan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, yang didakwa mendedahkan dokumen berkaitan minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan melalui media sosial baru-baru ini.

Ketuanya, Mohd Farhan Ahmad menegaskan bahawa bahawa kuasa pengampunan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) adalah termaktub di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

“Institusi diraja merupakan sebahagian daripada asas sistem Raja berperlembagaan negara yang wajib dihormati dan dipelihara oleh semua pihak tanpa mengira fahaman atau perbezaan politik.

“Sebarang pendedahan dokumen berkaitan Lembaga Pengampunan hendaklah mematuhi undang-undang serta prosedur yang ditetapkan.

“Justeru, kami mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti sumber dokumen tersebut, bagaimana ia diperoleh dan sama ada dokumen berkenaan telah dinyahklasifikasikan secara sah sebelum didedahkan kepada umum,” katanya menerusi satu kenyataan.

Farhan turut mempersoalkan sama ada tindakan dan kenyataan berhubung dokumen berkenaan berpotensi mencetuskan persepsi negatif terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong, sekali gus mengheret institusi diraja ke dalam polemik politik yang tidak sepatutnya berlaku.

“Perbezaan pandangan politik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mempermainkan sensitiviti berkaitan institusi diraja.

“Jika terdapat unsur pelanggaran Akta Rahsia Rasmi 1972 atau mana-mana peruntukan undang-undang yang berkaitan, tindakan sewajarnya hendaklah diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat berdasarkan hasil siasatan dan bukti yang diperoleh.

“Jangan jadikan institusi diraja sebagai bahan polemik politik. Kebebasan bersuara perlu disertai tanggungjawab, manakala kedaulatan undang-undang mesti sentiasa menjadi keutamaan,” tegasnya.

Sehubungan itu, Pemuda UMNO Pokok Sena, percaya pihak berkuasa mampu menjalankan siasatan secara profesional, adil dan telus demi memelihara keyakinan rakyat terhadap institusi negara. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO