Jangan Perjudikan Institusi Raja Demi Agenda Politik – Haslinda
KUALA LUMPUR, 20 Nov – Pendedahan dokumen minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan oleh bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, bukan isu remeh yang boleh dipandang ringan, sebaliknya menyentuh soal kedaulatan Perlembagaan, kerahsiaan dokumen rasmi serta kedudukan institusi Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Ketua Penerangan UMNO Wanita Negeri Johor, Haslinda Salleh menegaskan, institusi Raja Berperlembagaan tidak seharusnya dijadikan bahan polemik, apatah lagi dipergunakan sebagai modal politik oleh mana-mana individu atau kelompok demi kepentingan tertentu.
Menurutnya, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan kuasa pengampunan kepada YDPA bagi Wilayah Persekutuan, justeru kuasa dan kedudukan institusi berkenaan wajib dihormati serta dipelihara.
“Perbezaan pandangan politik tidak boleh dijadikan alasan untuk mempertikaikan atau memperlekehkan institusi diraja. Kita boleh berbeza pendapat, tetapi jangan sampai melangkaui batas penghormatan terhadap institusi YDPA.
“Negara ini berdiri atas Perlembagaan, bukannya atas kehendak dan kepentingan politik mana-mana individu atau kelompok,” tegasnya.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Labis, turut mempersoalkan bagaimana Tony Pua memperoleh dokumen berkenaan, siapa yang membekalkannya serta apakah asas dan kuasa yang membolehkan dokumen tersebut didedahkan kepada umum.
Ujarnya, alasan kononnya sekadar menyampaikan maklumat atau bertindak sebagai ‘messenger’ tidak seharusnya dijadikan perisai untuk mengelak daripada tanggungjawab undang-undang.
“Jika dokumen tersebut telah dinyahklasifikasikan secara sah, proses serta kelulusan berkenaan perlu dibuktikan. Namun, sekiranya terdapat unsur mendapatkan, menerima atau mendedahkan rahsia rasmi tanpa kebenaran yang sah, perkara ini wajib disiasat.
“Pihak berkuasa perlu meneliti kemungkinan pelanggaran Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88), termasuk Seksyen 8, tertakluk kepada status dokumen dan hasil siasatan,” katanya.
Dalam pada itu, Haslinda menegaskan kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk mengelak daripada menjawab persoalan berkaitan undang-undang dan tanggungjawab.
Beliau menjelaskan bahawa tuntutan supaya siasatan dijalankan bukan bermaksud menjatuhkan hukuman sebelum kesalahan dibuktikan, sebaliknya menuntut prinsip keadilan ditegakkan melalui proses yang telus, menyeluruh dan tanpa pilih kasih.
“Jika terbukti berlaku kesalahan, tindakan undang-undang mesti diambil. Jangan ada sesiapa yang merasakan dirinya kebal daripada undang-undang hanya kerana mempunyai kepentingan atau pengaruh politik.
“Kita bukan menolak ketelusan. Kita menuntut ketelusan yang berlandaskan undang-undang, bukan ketelusan yang dijadikan alat untuk mencetuskan polemik dan menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi Raja Berperlembagaan,” jelasnya.
Tegas beliau, keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta kedudukan institusi Yang di-Pertuan Agong mesti dipertahankan tanpa kompromi kerana ketiga-tiganya merupakan asas kestabilan dan kedaulatan negara. – UMNO Online
