Konvoi Gelombang Biru, Semangat Anak Muda Luar Biasa
LENDU, 13 Nov – Semangat luar biasa golongan anak muda yang menyertai konvoi motosikal di Melaka bagi menzahirkan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) membuktikan gelombang biru terus mendapat sambutan, khususnya menjelang hari terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penyertaan anak muda secara beramai-ramai dalam konvoi berkenaan memperlihatkan semangat dan sokongan terbuka mereka terhadap perjuangan BN.

“Konvoi Melaka bermotosikal ini memang luar biasa. Semangat anak-anak muda untuk turun beramai-ramai menzahirkan sokongan kepada gelombang biru amat terserlah.
“Semangat tersebut perlu diterjemahkan melalui peti undi dengan memastikan sokongan yang dizahirkan sepanjang kempen benar-benar menjadi undi pada hari pengundian. Itu yang paling penting,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkata, meskipun Lendu merupakan kerusi tradisi BN, seluruh jentera parti tidak pernah mengambil mudah persaingan sepanjang tempoh dua minggu kempen berlangsung.
“Kita tidak pernah merasa selesa. Kita bekerja seolah-olah kita ini kelompok yang masih kalah. Sebab itulah kita sudah berikan amanah kepada semua jentera supaya jangan ada seorang pun pengundi atau rumah pengundi yang tidak kita sampai.
“Walaupun mereka kita anggap tidak menyokong kita, kita kena ingat hati manusia ini Tuhan yang punya. Paling penting, kita terus berusaha dan beramah mesra dengan rakyat,” katanya lagi.

Dalam pada itu kata Asyraf, menyifatkan sambutan terbuka rakyat, khususnya anak muda yang pulang dari perantauan pada hari-hari terakhir kempen, sebagai perkembangan positif yang cukup luar biasa berbanding PRU lalu.
“Sokongan tersebut merupakan isyarat penting yang perlu diterjemahkan kepada mandat melalui peti undi, sekali gus memastikan harapan rakyat dapat direalisasikan menerusi pentadbiran yang bertanggungjawab,” ujarnya. – UMNO Online
