Iktibar Isu Najib, Pertahan Kedaulatan Undang-undang

TANJUNG BIDARA, 11 Nov – Prinsip kedaulatan undang-undang dan penghormatan terhadap Perlembagaan Persekutuan perlu menjadi keutamaan semua pihak, bukannya menjadikan isu membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai polemik atau medan percaturan politik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, beliau menyokong pendirian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menzahirkan rasa syukur terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membolehkan Najib pulang ke rumah bagi menjalani baki hukuman menerusi tahanan dalam rumah.

Menurutnya, perkembangan itu perlu dilihat dalam konteks menghormati proses perundangan serta keputusan yang dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan negara.

“Ini bukan soal polemik politik atau agenda mana-mana pihak. Ini soal kedaulatan undang-undang, penghormatan terhadap Perlembagaan dan memastikan setiap keputusan serta proses perundangan dilaksanakan mengikut lunas yang telah ditetapkan.

“Kita perlu menghormati institusi kehakiman dan pada masa sama memastikan segala peruntukan Perlembagaan, termasuk kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong, dihormati serta dipatuhi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahmad Zahid yang menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pelaksanaan tahanan dalam rumah terhadap Najib, semalam.

Mohd Zaidy berkata, perkara itu juga perlu menjadi pengajaran kepada semua pihak, khususnya pengamal undang-undang dan pihak yang bertanggungjawab dalam urusan perundangan, supaya sentiasa memahami serta menghormati bidang kuasa yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Jangan sampai perbezaan pandangan politik menyebabkan kita mengetepikan prinsip asas negara. Undang-undang dan Perlembagaan bukan untuk ditafsir mengikut kepentingan atau kecenderungan politik masing-masing.

“Apabila sesuatu keputusan telah dibuat oleh mahkamah, semua pihak perlu menghormati proses tersebut dan memberikan ruang sewajarnya tanpa mencetuskan polemik yang berpanjangan,” katanya.

Beliau turut berpandangan perkembangan berkenaan wajar membuka ruang kepada semua pihak untuk meredakan perbezaan pandangan serta menghentikan pertelagahan yang tidak membawa manfaat kepada negara.

Katanya, keutamaan kini adalah memastikan kedaulatan undang-undang terus dipelihara, institusi negara dihormati dan setiap rakyat memahami bahawa Perlembagaan merupakan asas kepada pentadbiran serta sistem keadilan negara.

Terdahulu beliau berkesempatan turun padang bersama berkempen sempena Pilihan Raya Negeri ( PRN) Melaka dengan calon BN DUN Duyong , Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, dalam program kempen dan ziarah mesra bersama masyarakat di sini.

“Alhamdulillah, berpeluang beramah mesra, bertanya khabar dan mendengar sendiri pandangan masyarakat setempat,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO