Ab Rauf Optimis Lendu Kekal Jadi Penyumbang Kerusi BN

LENDU, 11 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh yakin Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu mampu menyumbang satu kerusi daripada lima kerusi yang dipertandingkan di Parlimen Masjid Tanah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.

Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, jentera BN di seluruh Parlimen Masjid Tanah telah diteliti dan berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi bagi menghadapi hari pengundian Sabtu ini.

Menurutnya, beliau telah mengadakan pertemuan di semua kawasan DUN bagi menilai persiapan jentera selain melihat sendiri perkembangan semangat dan komitmen petugas dalam menghadapi pilihan raya berkenaan.

“Dalam Parlimen Masjid Tanah, saya telah meneliti gerak kerja dan mendapati jentera berada pada tahap siap siaga paling tinggi untuk menghadapi PRN pada 14 November ini.

“Saya yakin bahawa N04 Lendu boleh menyumbang satu kerusi daripada lima kerusi yang dipertandingkan.

“Insya-Allah, saya telah menyelesaikan pertemuan di semua DUN dan melihat semangat mereka untuk membuang undi pada Sabtu nanti,” katanya kepada media hari ini.

Dalam masa sama, Ab Rauf yang juga Pengerusi UMNO Negeri Melaka, turut mempertikaikan kenyataan bahawa bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu tidak membantu calon yang diketengahkan BN pada PRN kali ini.

Beliau menyifatkan kenyataan sedemikian sebagai tidak membina, sebaliknya menegaskan bahawa tumpuan ketika ini perlu diberikan kepada calon baharu yang membawa tanggungjawab serta amanah untuk mewakili rakyat.

“Itu adalah kenyataan yang tidak membangunkan minda. Asal kapas sudah menjadi benang, calon yang lepas jangan dikenang, calon pun dah jadi orang lain,” tegasnya.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO