Penyatuan UMNO-PAS Jawab Keletihan Politik Melayu, Bina Kestabilan Negara
MELAKA, 10 Nov – Penyatuan UMNO dan PAS dilihat sebagai satu langkah penting dalam menangani keletihan masyarakat Melayu terhadap perpecahan politik, selain membuka ruang kepada pembentukan kestabilan politik yang lebih mampan di negara ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, perubahan landskap politik Malaysia serta perkembangan geopolitik dunia antara faktor yang mendorong keperluan kepada kerjasama lebih erat antara dua parti Melayu terbesar itu.

Menurutnya, masyarakat Melayu kini berdepan realiti politik baharu yang memerlukan pendekatan penyatuan, khususnya apabila perpecahan berpanjangan dilihat tidak membantu usaha memperkukuh kedudukan politik serta kestabilan negara.
“Orang Melayu sudah merasa letih dengan perpecahan. Mereka merasakan sudah tiba masanya untuk bergabung dan membina satu identiti politik.
“Walaupun kita mempunyai ideologi dan personaliti berbeza, perkara itu perlu ditangani. Mudah-mudahan jurang tersebut semakin dapat dikurangkan dan kita melangkah ke hadapan demi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam siri podcast Kita Geng Biru anjuran Penerangan UMNO Malaysia menerusi platform Facebook UMNO Online, malam tadi.
Abdul Rahman berkata, sekurang-kurangnya terdapat empat faktor yang menjadikan penyatuan politik semakin relevan, iaitu keletihan masyarakat Melayu terhadap perpecahan, trend global politik berasaskan identiti, perkembangan geopolitik dunia serta keperluan membentuk gabungan politik sebelum pilihan raya.
Katanya, perkembangan geopolitik antarabangsa khususnya tekanan dan penindasan yang dihadapi umat Islam di beberapa negara turut menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat Melayu dan Islam, sekali gus memperlihatkan kepentingan perpaduan.
Beliau turut berpandangan pembentukan gabungan politik sebelum pilihan raya lebih baik kerana membolehkan parti-parti yang bekerjasama menyelaraskan manifesto, dasar dan hala tuju pentadbiran.
Katanya, pembentukan kerajaan melalui gabungan selepas pilihan raya boleh mencetuskan percanggahan apabila parti-parti mempunyai manifesto serta janji politik yang berbeza kepada rakyat.
“BN telah membuktikan bahawa gabungan politik boleh menyediakan manifesto sebelum pilihan raya. Tetapi apabila gabungan dibentuk selepas pilihan raya, akan ada banyak percanggahan, termasuk janji-janji yang berbeza antara parti,” katanya.
Mengulas kerjasama UMNO dan PAS, beliau menyifatkan Melaka sebagai ruang yang mempunyai nilai tersendiri dalam usaha menggerakkan penyatuan politik Melayu dan Islam.
Menurutnya, kerjasama itu perlu dilihat dalam kerangka yang lebih luas kerana matlamat akhirnya bukan sekadar menyatukan dua parti, tetapi membina kestabilan politik untuk kepentingan negara.
Menariknya, beliau turut mengaitkan usaha penyatuan tersebut dengan sejarah Melaka yang suatu ketika dahulu mencapai kegemilangan menerusi pendekatan toleransi dan keterbukaan dalam membina masyarakat.
“Ini adalah gabungan untuk semua. Kita boleh menerima perbezaan dan perlu mencari titik persamaan demi masa depan negara,” katanya.
Beliau berkata, segala perbezaan ideologi dan pendekatan politik perlu diurus secara matang agar usaha kerjasama dapat bergerak ke hadapan tanpa mengabaikan kepentingan masyarakat majmuk di Malaysia. – UMNO Online
