Kekuatan BN Tidak Boleh Diperlekeh, Trek Rekod Jadi Sandaran
MELAKA, 10 Nov – Kekuatan UMNO dan Barisan Nasional (BN) masih utuh dan tidak boleh dipandang ringan, malah rekod pentadbiran kerajaan negeri Melaka di bawah BN menjadi antara asas penting dalam usaha mendapatkan sokongan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, prestasi Kerajaan Negeri Melaka telah memperlihatkan perkembangan memberangsangkan dalam meletakkan negeri itu pada landasan pembangunan yang lebih baik.
Menurutnya, kekuatan parti tidak seharusnya diperlekehkan berdasarkan persepsi politik semata-mata kerana UMNO dan BN mempunyai pengalaman serta rekod dalam mentadbir negara dan negeri.

“Jangan perlekehkan kekuatan UMNO. Kekuatan ini masih ada dan kita yakin ia akan diterjemahkan pada hari pengundian.
“Prestasi Kerajaan Negeri Melaka di bawah BN juga amat memberangsangkan dan telah meletakkan Melaka sebagai sebuah negeri yang boleh dipacu ke arah lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam siri podcast Kita Geng Biru anjuran Penerangan UMNO Malaysia menerusi platform Facebook UMNO Online, malam tadi.
Mengulas landskap politik semasa, Abdul Rahman berkata, BN perlu terus memberikan tumpuan kepada gerak kerja parti dengan mengambil kira perubahan corak politik negara selepas gabungan itu tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selepas lebih 60 tahun mentadbir negara.
Katanya, pengalaman tersebut membuktikan bahawa politik negara sentiasa berubah dan setiap parti perlu memahami realiti semasa serta membuat pertimbangan berdasarkan perkembangan sokongan rakyat.
Beliau turut menegaskan bahawa politik adalah permainan angka atau ‘game of numbers’, justeru kedudukan dan kekuatan setiap gabungan perlu dinilai berdasarkan realiti sokongan serta perkembangan politik semasa.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa UMNO tidak pernah bertanding dalam pilihan raya secara bersendirian atas nama parti, sebaliknya BN merupakan gabungan politik yang menghimpunkan parti-parti pelbagai kaum.
Menurutnya, identiti BN sebagai gabungan pelbagai kaum perlu terus difahami dalam konteks perjuangan politik dan usaha mendapatkan mandat rakyat.
Abdul Rahman turut menyentuh komitmen Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk terus bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal, sekali gus menegaskan bahawa tumpuan parti perlu kekal kepada gerak kerja yang telah dirancang.
Justeru, beliau berkata pengalaman pentadbiran, prestasi kerajaan negeri serta kekuatan jentera parti merupakan antara perkara yang perlu terus diberikan perhatian dalam menghadapi PRN Melaka. – UMNO Online
