Manifesto Bersama BN-PN Angkat Agenda Kebajikan Rakyat

ALOR GAJAH, 9 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan menyifatkan kerjasama BN dan Perikatan Nasional (PN) menerusi pembentangan manifesto bersama sebagai perkembangan positif yang mampu menawarkan penyelesaian lebih dekat dengan keperluan rakyat.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah berkata, ini kerana manifesto berkenaan menggariskan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat, khususnya golongan berpendapatan rendah (B40).

“Sebagai contoh, tambang bas seorang anak boleh mencecah RM50 sebulan. Jika sebuah keluarga mempunyai tiga anak yang bersekolah di sekolah rendah agama, jumlahnya boleh mencapai RM150 sebulan dan ini sudah tentu menjadi beban kepada mereka.

“Pada masa sama, inisiatif ini dapat meningkatkan produktiviti ibu bapa kerana mereka tidak perlu lagi pulang ke rumah untuk menghantar anak ke sekolah agama sebelum kembali bekerja,” katanya.

Fairul yang juga penyandang DUN berkenaan berkata demikian ketika ditemui UMNO Online pada Santai BBQ Anak Muda @ DUN Asahan yang diadakan baru-baru ini.

Dalam pada itu beliau berkata, manifesto berkenaan turut memberi tumpuan kepada usaha merancakkan ekonomi negeri menerusi sasaran mewujudkan 25,000 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun, selain menarik lebih banyak pelaburan ke Melaka.

“Kestabilan politik merupakan antara faktor penting bagi meyakinkan pelabur untuk memilih Melaka sebagai destinasi pelaburan, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan kepada rakyat,” ujar beliau.

Mengulas kerjasama BN dan PN, beliau berkata kesepakatan kedua-dua gabungan itu turut mencerminkan kesediaan untuk menggembleng usaha dalam membentuk pentadbiran yang mendapat sokongan masyarakat pelbagai kaum.

“Sepatutnya perkara ini sudah lama berlaku. Alhamdulillah, Allah izinkan ia berlaku di Johor, Negeri Sembilan dan akhirnya diterjemahkan secara terang-terangan di Melaka.

“Negara memerlukan kerajaan yang kuat dan stabil supaya pentadbiran dapat berjalan dengan aman, seterusnya memastikan ekonomi negeri dan negara berada pada kedudukan yang baik,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh melancarkan manifesto buat julung kali antara BN-PN, yang menggariskan satu matlamat, enam teras dan 113 inisiatif menerusi tema ‘Membina Masa Depan Melaka, Memakmurkan Negara’.

Antara tawaran utama yang diketengahkan dalam manifesto berkenaan adalah bil air percuma bagi penggunaan di bawah 20 meter padu sebulan, pembinaan 25,000 rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun serta penyediaan perkhidmatan ambulans percuma.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala hari pengundian awal pada 10 November.

DUN Melaka dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 23 September lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO