Program Santai Orang Melaka Manifestasi Keserasian Jentera Pemuda BN-PAS

MELAKA, 8 Nov – Program Santai Orang Melaka yang berlangsung malam tadi mencatatkan sambutan positif apabila kira-kira lebih 1,200 motosikal menyertai konvoi melibatkan jentera Pemuda UMNO-Barisan Nasional (BN) dan Pemuda PAS, manakala kehadiran orang ramai di MITC ribuan rakyat berhimpun.

Exco Pemuda UMNO Malaysia, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan berkata, sambutan menggalakkan itu merupakan satu kejayaan awal dan petunjuk positif terhadap penerimaan masyarakat, khususnya golongan muda, terhadap kerjasama antara Pemuda BN dan PAS.

Menurutnya, program berkenaan dirancang secara drastik dalam tempoh kurang empat hari, namun persiapan yang dilakukan berjaya membuahkan hasil di luar jangkaan.

“Program malam tadi bagi saya secara peribadi adalah satu kejayaan awal ataupun orang kata satu KPI awal kerana program itu dirancang secara drastik, kurang daripada empat hingga lima hari.

“Kita buat persiapan dan Alhamdulillah sambutannya sangat menggalakkan. Konvoi lebih kurang 1,200 motosikal sahaja yang melibatkan Pemuda PAS dan juga Barisan Nasional (BN) serta UMNO, manakala sambutan di MITC semalam dengan kehadiran pengunjung dan hadirin lebih kurang 2,000 hingga 3,000 orang,” katanya.

Beliau berkata, sambutan tersebut menjadi satu petanda baik terhadap keserasian serta hubungan yang telah terjalin antara jentera Pemuda kedua-dua parti dalam menjayakan kerjasama politik berkenaan.

Katanya, kerjasama di peringkat Pemuda dilihat berjalan lancar apabila kedua-dua pihak saling melengkapi dan membantu menerusi pembahagian jawatankuasa yang melibatkan wakil Pemuda PAS dan Pemuda UMNO.

“Untuk tahap Pemuda ini, keserasian itu cepat dan Alhamdulillah kita saling melengkapi serta saling membantu kerana dalam setiap jawatankuasa ada dua pihak, iaitu Pemuda PAS dan juga Pemuda UMNO. Jadi kerjasama itu berjalan lancar.

“Kita pun tidak sangka sambutan di luar jangkaan. Penerimaan rakyat sebenarnya cukup positif kerana bukan sahaja orang Melaka yang datang, malah orang luar pun turut hadir. Banyak perkara dan kejadian baik yang berlaku di luar jangkaan kita malam tadi,” katanya.

Mengulas penerimaan terhadap kerjasama BN dan PAS, Shah Zanuriman berkata, meskipun kedua-dua parti pernah melalui pelbagai pengalaman dan perbezaan sebelum ini, kerjasama kali kedua menerusi muafakat berkenaan dilihat lebih tersusun, tertib dan harmoni.

Katanya, keadaan itu turut memudahkan jentera di peringkat akar umbi untuk bekerjasama tanpa sebarang masalah besar.

“Kita pernah bekerjasama dengan satu pihak lagi, iaitu Pakatan Harapan (PH), yang orang kaitkan dengan DAP tapi kita nampak penolakan itu agak ketara dari akar umbi.

“Tetapi apabila bercerita mengenai PAS, walaupun masing-masing mempunyai cerita tersendiri, untuk gabungan kali kedua ini ataupun muafakat kali kedua, ia nampak lebih tertib, lebih teratur dan juga lebih harmoni.

“Jadi, keadaan itu membuatkan jentera di bawah tidak mempunyai banyak masalah untuk bekerjasama. Setakat ini, kita juga tidak menerima laporan daripada peringkat Pemuda mengenai sebarang pertelagahan atau perselisihan antara kedua-dua pihak. Alhamdulillah, semuanya baik-baik,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO