PRN Melaka: Siap Sedia Hadapi Tohmahan, Pengundi Nilai Prestasi – Hj Md Israk
MERLIMAU, 7 Nov – Jentera Barisan Nasional (BN) perlu bersedia menghadapi pelbagai isu, tohmahan dan dakwaan yang mungkin dibangkitkan pihak lawan sepanjang baki tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup Haji Md Israk bin Abdullah berkata, perkara sedemikian lazim berlaku ketika musim pilihan raya, justeru pengundi perlu menilai setiap isu secara rasional dan tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan yang timbul.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan walkabout bersama jentera setempat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Merlimau Utara, di sini, sempena hari ketujuh kempen PRN Melaka.

Menurutnya, pelbagai isu yang sebelum ini tidak dibangkitkan berkemungkinan muncul ketika tempoh kempen, namun rakyat perlu melihat kepada prestasi dan rekod pentadbiran kerajaan dalam memberikan perkhidmatan kepada mereka.
“Memasuki fasa kedua kempen ini juga, kita akan melihat nanti timbulnya pelbagai isu dan tohmahan ataupun berita-berita yang tidak masuk akal akan dilontarkan oleh pihak lawan.
“Itu memang biasa dalam keadaan berkempen. Kenapa isu itu tidak timbul ketika kerajaan memerintah? Kenapa dalam dua minggu ini pelbagai isu akan timbul?” katanya.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Johor berkata maklum balas yang diterima ketika menyantuni penduduk menunjukkan perkhidmatan calon BN sebelum ini turut menjadi antara faktor yang diberikan perhatian oleh pengundi.

Justeru, katanya, kesinambungan pentadbiran kerajaan negeri penting bagi memastikan perancangan pembangunan dan usaha yang telah dilaksanakan dapat diteruskan demi kepentingan rakyat.
“Janganlah kita mempertaruhkan masa depan negeri melalui pendekatan cuba-cuba atau try and error kerana setiap perubahan pentadbiran mempunyai kesan terhadap perancangan yang sedang dilaksanakan,” ujarnya. – UMNO Online
