Fikirkan Generasi Akan Datang Sebelum Buat Pilihan – Abdul Rahman
TELOK MAS, 7 Nov – Rakyat perlu menjadikan masa depan negara dan generasi akan datang sebagai pertimbangan utama ketika membuat keputusan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Beliau berkata, rakyat juga perlu melihat kepentingan pembentukan gabungan politik sebelum pilihan raya bagi mengelakkan ketidaktentuan selepas keputusan pilihan raya.

Abdul Rahman demikian ketika menyampaikan ceramah kempen Barisan Nasional (BN) di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Telok Mas, di sini malam tadi.
“Fikirkan masa depan negara kita, fikirkan masa depan anak-anak kita. Pastikan ada gabungan sebelum pilihan raya. Jangan kita pilih kerajaan, iaitu gabungan selepas pilihan raya,” katanya.
Menurutnya, pembentukan gabungan sebelum pilihan raya seperti formula BN sebelum ini merupakan pendekatan yang diketengahkan dalam memastikan kerjasama politik dibentuk lebih awal.
Dalam pada itu beliau turut berpandangan Kerjasama UMNO dan Pas bukan sahaja perlu menyatukan orang Melayu, malah perlu berjaya menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) itu berkata, kejayaan kerjasama itu bergantung kepada keupayaannya merangkumi masyarakat pelbagai kaum dan agama.
“Kerjasama yang kita buat pada hari ini adalah manifestasi kepada kerjasama yang kita akan buat pada PRU yang ke-16 nanti.
“Ini adalah langkah yang pertama. Membuat kerjasama dengan Pas. Tetapi seperti mana yang saya katakan tadi, ia hanya akan berjaya bukan saja berhasil menyatukan orang Melayu, tetapi akan berjaya kalau ia dapat menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia ini, termasuk Sabah dan Sarawak yang mempunyai berbagai kaum dan agama,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama berkenaan perlu berlandaskan Perlembagaan dengan mengambil kira kedudukan Melayu-Islam sebagai kaum teras.
“UMNO dan Pas kalau menang di Melaka ini, tawarkanlah kerajaan di peringkat pusat nanti yang mewakili semua kaum, semua agama tanpa kita memberikan pertimbangan lebih kepada satu kaum dan yang lain,” katanya.- UMNO Online
