PRN Melaka: Jangan Leka, Terus Perhebat Gerak Kerja – Shamsul Anuar
TANGGA BATU, 7 Nov – Seluruh jentera Barisan Nasional (BN) supaya terus melipatgandakan usaha bagi memastikan sasaran kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka
dapat dicapai.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata meskipun gerak kerja jentera parti berjalan dengan baik dan menerima respons daripada rakyat, usaha berkempen perlu diteruskan sehingga hari pengundian.
“Tempoh kempen yang masih berbaki merupakan masa penting untuk jentera BN memperkukuh pendekatan mendekati rakyat, menjelaskan isu serta memastikan sokongan pengundi terus diberikan.
“Apa sahaja boleh berlaku. Sebab itu, jentera mesti sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga dan melaksanakan tanggungjawab bukan sekadar mendekati ahli parti, tetapi juga seluruh rakyat kerana sokongan mereka amat penting.
“Kita tidak boleh berhenti setakat itu saja tetapi masih ada tempoh sebelum undi awal dan hari mengundi, jadi seluruh jentera mesti terus menggandakan usaha,” katanya kepada UMNO Online di sini.
Shamsul yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri mengingatkan jentera parti agar tidak terperangkap dalam berasa selesa, kerana sasaran parti adalah memperoleh jumlah kerusi yang lebih besar berbanding pencapaian sebelum ini.

“Apa keadaan sekalipun, kita jangan terlalu yakin atau ‘overconfident’. Jangan rasa selesa dengan apa yang kita lihat hari ini. Jentera mesti terus bekerja keras kerana sasaran adalah memastikan jumlah kerusi yang dimenangi melebihi pencapaian sebelum ini.
“Dalam masa sama, gerak kerja bersama rakan strategik, Perikatan Nasional (PN), khususnya Pas dan parti-parti gabungan mereka mesti diperkukuh. Kita perlu memperlihatkan kepada rakyat bahawa kerjasama ini benar-benar dilaksanakan secara bersama dan tersusun,” ujarnya.
Kata Ahli Parlimen Lenggong lagi, jentera parti tidak seharusnya membiarkan fitnah dan adu domba mempengaruhi persepsi rakyat sehingga menjejaskan hubungan kerjasama antara BN dan Pas.
“Gerak kerja Wanita UMNO yang turun dari rumah ke rumah perlu diteruskan. Jangan mudah terpengaruh dengan fitnah dan adu domba yang boleh merosakkan hubungan BN dengan rakyat serta kerjasama bersama PAS.
“Jangan biarkan dakwaan kononnya gandingan ini akan menyebabkan rakyat berpecah-belah mempengaruhi pemikiran pengundi. Kita perlu terus mendekati masyarakat dan menjelaskan perkara sebenar,” jelasnya.
Beliau turut menyeru agar seluruh jentera terus memberikan komitmen dalam menghadapi PRN Melaka, selain memastikan kerjasama politik yang terjalin diterjemahkan menerusi gerak kerja di lapangan.
Yang penting, mari teruskan memberikan sokongan kepada BN dan PN, semoga kita menang besar, negeri Melaka terus mendapat nikmat terbaik. Paling penting pengundi harus mengundi dua parti iaitu BN dan PN, dan jangan undi PH,” tegasnya. – UMNO Online
