DAP Jangan Amalkan Keadilan Terpilih – Ruzaini Rais

KUALA LUMPUR, 8 Nov – Pemimpin DAP diingatkan supaya tidak mengamalkan prinsip keadilan secara terpilih dengan menjadikan perbezaan fahaman politik sebagai ukuran dalam menilai sesuatu tindakan, termasuk isu kutipan sumbangan bagi membantu Datuk Seri Najib Razak melunaskan denda mahkamah sebanyak RM50 juta.

Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Ruzaini Rais berkata, tindakan mengutip sumbangan secara sukarela daripada orang ramai bukanlah sesuatu yang asing dalam amalan demokrasi, justeru tidak wajar dipertikaikan hanya kerana ia dilakukan oleh UMNO.

Menurutnya, terdapat persoalan mengenai konsistensi pendirian DAP apabila kutipan derma yang pernah dilakukan bagi membantu pemimpin parti itu menyelesaikan tuntutan ganti rugi kes saman diterima atas nama solidariti, tetapi tindakan serupa oleh UMNO pula dipersoalkan.

“Sejak bilakah mengutip sumbangan daripada orang ramai menjadi satu kesalahan? Mengapa apabila pemimpin DAP berhadapan masalah kewangan akibat kes saman, kutipan derma boleh dilakukan atas nama solidariti, tetapi apabila UMNO melakukan perkara sama, ia tiba-tiba menjadi satu isu besar?

“Janganlah mengamalkan prinsip yang berbeza hanya kerana ia melibatkan parti politik yang berbeza,” katanya dalam satu kenyataan.

Ruzaini turut merujuk tindakan Ahli Parlimen DAP Kepong, Lim Lip Eng, yang dilaporkan mengumpulkan RM2.25 juta pada Mac 2023 bagi membayar ganti rugi kes saman fitnah yang diputuskan Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata, isu sebenar sepatutnya dinilai berdasarkan prinsip yang sama, bukannya dipengaruhi sentimen kepartian sehingga tindakan yang serupa diberikan tafsiran berbeza.

Mengulas dakwaan bahawa UMNO sepatutnya menggunakan wang sumbangan itu untuk membantu rakyat berdepan tekanan ekonomi, Ruzaini berkata, kutipan berkenaan bertujuan melunaskan denda yang dikenakan oleh mahkamah dan bukan untuk
kegunaan peribadi secara sewenang-wenangnya.

“Wang tersebut apabila dibayar akan menjadi hasil kerajaan yang boleh dimanfaatkan untuk pelbagai tujuan, termasuk pembangunan negara, kemudahan awam dan kebajikan rakyat.

“Jangan sampai kerana terlalu ghairah mahu menyerang UMNO, perkara yang mudah pun sengaja diputarbelitkan sehingga seolah-olah RM50 juta itu dirampas daripada poket rakyat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa sokongan terhadap Najib bukan hanya datang daripada kalangan ahli UMNO, malah terdapat individu daripada kaum lain yang turut menyumbang sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan bekas Perdana Menteri itu ketika menerajui negara.

Dalam pada itu, Ruzaini mempersoalkan mengapa isu berkaitan Najib terus menjadi polemik politik, khususnya berhubung kemungkinan beliau menjalani baki hukuman melalui kaedah tahanan rumah.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa UMNO tidak pernah meminta mana-mana pihak mengiktiraf Najib sebagai individu yang tidak bersalah, sebaliknya menuntut supaya proses undang-undang dan hak yang diperuntukkan melalui saluran perlembagaan dihormati secara adil.

“UMNO tidak pernah meminta sesiapa mengiktiraf DS Najib sebagai individu yang tidak bersalah. Keputusan mahkamah dan proses undang-undang tetap perlu dihormati. Namun, dalam sebuah negara yang menjunjung kedaulatan undang-undang, hak yang diberikan melalui proses perlembagaan juga perlu dihormati.

“Tahanan rumah bukan bermaksud seseorang itu dibebaskan daripada sabitan atau hukuman,” katanya.

Ruzaini turut mengingatkan beberapa pemimpin DAP, termasuk Nga Kor Ming dan Anthony Loke, mengenai kenyataan terdahulu mereka berhubung kesediaan melepaskan jawatan susulan perkembangan berkaitan hukuman dan pengampunan Najib.

Katanya, pendirian politik yang tegas seharusnya disertai konsistensi dalam tindakan, bukan sekadar kenyataan yang dibuat ketika sesuatu isu menjadi perhatian umum.

Mengakhiri kenyataannya, Ruzaini menegaskan bahawa ukuran sebenar keadilan dalam politik bukan terletak pada cara seseorang melayan rakan seperjuangan, tetapi bagaimana prinsip yang sama diberikan kepada pihak yang mempunyai perbezaan politik.

“Dalam politik, prinsip yang sebenar bukan diukur melalui bagaimana kita melayan kawan, tetapi bagaimana kita berlaku adil kepada pihak yang tidak sehaluan.

“Jangan bercakap tentang keadilan jika keadilan hanya mahu ditegakkan apabila ia menguntungkan diri sendiri,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO