Ahmad Zahid Terima Kunjungan Setiausaha Agung D-8, Bincang Kerjasama Ekonomi
KUALA LUMPUR, 7 Nov – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima kunjungan Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Ekonomi D-8, TYT Duta Besar Sohail Mahmood bagi bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh kerjasama ekonomi dalam kalangan negara anggota.
Beliau berkata, pertemuan itu memberi tumpuan kepada usaha mendepani cabaran ekonomi dan ketidaktentuan geopolitik global.

Menurutnya, D-8 mempunyai potensi besar untuk memperluas perdagangan, pelaburan dan kerjasama strategik antara negara anggota menerusi pasaran yang merangkumi lebih 1.2 bilion penduduk
“Perbincangan kami turut menyentuh mengenai potensi pasaran yang merangkumi lebih 1.2 bilion penduduk, D-8 mempunyai potensi besar untuk memperluas perdagangan, pelaburan dan kerjasama strategik antara negara anggota,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Ahmad Zahid berkata, beliau turut mengetengahkan potensi kerjasama dalam industri halal, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), keterjaminan makanan serta pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Katanya, kerjasama berkenaan turut merangkumi usaha membuka peluang ekonomi lebih luas kepada masyarakat luar bandar.
“Saya percaya kekuatan D-8 bukan sekadar terletak pada saiz pasaran, tetapi pada keupayaan negara anggotanya menterjemahkan kerjasama kepada kemakmuran bersama.
“Malaysia akan terus komited memainkan peranan aktif bagi memastikan potensi ini dapat dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.
Pertemuan itu berlangsung selepas beliau selesai mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Lubnan. – UMNO Online
